Program pengampunan berjaya kumpul lebih 8,000 senjata api

Program pengampunan berjaya kumpul lebih 8,000 senjata api

Program pengampunan di Australia itu menyaksikan lebih 74,000 butir peluru, 56 senjata terlarang dan 338 aksesori senjata api diserahkan kepada pihak berkuasa.

Kempen pengampunan tahun lepas di Australia berjaya mengumpul lebih 24,800 senjata api.
SYDNEY:
Lebih 8,300 raifal, senapang patah dan senjata api lain diserah kepada pihak berkuasa negeri New South Wales, Australia susulan penganjuran program pengampunan secara besar-besaran, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan polis pada Khamis.

“Terdapat respons yang begitu memberangsangkan di seluruh negeri dan ia adalah sesuatu yang amat menggalakkan apabila melihat anggota komuniti menyedari bahaya yang ditimbulkan oleh semua senjata api ini serta melakukan tindakan yang betul dengan menyerahkannya kepada pihak berkuasa atau mendaftarkan senjata terbabit,” kata Timbalan Pesuruhjaya Operasi Lapangan Polis Metropolitan, Jeff Loy, dalam satu kenyataan.

“Terlalu banyak senjata api yang tidak disimpan dengan betul, menyebabkan ia menjadi sasaran mudah kepada pencuri, khususnya di kawasan serantau dan luar bandar.”

Menurut polis, program pengampunan itu yang berlangsung dari Julai hingga September, menyaksikan lebih 74,000 butir peluru, 56 senjata terlarang dan 338 bahagian serta aksesori senjata api diserahkan kepada pihak berkuasa dengan orang ramai digalak melupuskan senjata api yang tidak didaftar secara sah atau barangan berkaitan senjata api, tanpa dikenakan penalti.

Satu kempen serupa tahun lepas berjaya mengumpul lebih 24,800 senjata api.

Lesen diperlukan bagi sesiapa yang ingin memiliki atau menggunakan senjata api di Australia.

Undang-undang senjata api meliputi pendaftaran dan pelesenan, peruntukan bagi alasan-alasan yang munasabah untuk pemilikan, larangan terhadap senjata automatik dan separa automatik serta penyimpanan peluru yang bersesuaian.

Satu insiden tembakan secara besar-besaran yang meragut 7 nyawa, termasuk 4 kanak-kanak, di kawasan Sungai Margaret, yang terletak di selatan ibu negeri Australia Barat iaitu Perth, pada Mei mencetuskan semula perdebatan berhubung langkah memperketat kawalan terhadap senjata api di negara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.