
Irwan tiba pada jam 8.15 pagi di pekarangan mahkamah berpakaian berwarna gelap dengan diiringi pegawai polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Manakala itu, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pula tiba di mahkamah sama pada 8.23 pagi dan dijangka menghadapi pertuduhan sama membabitkan syarikat pelaburan strategik itu.
Semalam, Irwan ditahan oleh SPRM berhubung kes pembayaran hutang 1MDB kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).
Sumber SPRM berkata, beliau ditahan ketika hadir di ibu pejabat agensi anti-rasuah itu untuk memberi keterangan.
Bekas perdana menteri, Najib Razak yang turut hadir memberi keterangan berhubung isu sama, bagaimanapun meninggalkan ibu pejabat SPRM pada 5 petang.
Terdahulu, SPRM dalam satu kenyataan berkata, Najib dan Irwan dipanggil bagi melengkapkan proses akhir siasatan dan pendakwaan.
FMT melaporkan Najib dan Irwan dijangka didakwa secara bersama untuk sekurang-kurangnya 6 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang sebanyak RM6.6 bilion.
Pertuduhan itu dikaitkan dengan skandal 1MDB, projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) serta 2 projek saluran paip gas di Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Sumber memberitahu Najib dan Irwan dijangka didakwa menggunakan peruntukan kerajaan untuk melangsaikan hutang 1MDB dengan IPIC.
Syarikat milik kerajaan 1MDB dalam perjanjian penyelesaian bersetuju membayar AS$1.2 bilion kepada IPIC menerusi 2 ansuran sebelum ini.