Mother Mangalam, dari guru Inggeris tegas kepada seorang ‘ibu’

Mother Mangalam, dari guru Inggeris tegas kepada seorang ‘ibu’

Kehidupan beragamanya dipengaruhi agama Hindu, Buddha, Islam dan Kristian dan ia membawa kepada transformasi kehidupan serta membimbing beliau dalam mengamalkan nilai-nilai kerohanian serta menghormati semua ajaran agama.

Saya berasa amat gembira apabila menerima undangan daripada Pure Life Society untuk menghadiri majlis penyampaian ijazah kehormat kedoktoran Datin Paduka Mother Mangalam baru-baru ini.

Anugerah yang disampaikan sewaktu Upacara Konvokesyen ke-16 Taylor’s University itu sesungguhnya pengiktirafan paling berharga untuk seorang wanita yang banyak menyumbang bakti yang kita boleh anggap sebagai “Florence Nightingale dan Mother Teresa of Malaysia”.

Dilahirkan di Singapura pada 1926, memang menjadi impian hidupnya untuk berbakti membela hidup kanak-kanak yang kurang bernasib baik serta golongan miskin.

Mother Mangalam adalah guru bahasa Inggeris saya dan guru besar Sekolah Rendah Kebangsaan Dharma dan Sekolah Menengah Dharma di Puchong, Selangor.

Saya masih ingat tatkala beliau melontar buku latihan bahasa Inggeris saya ke kipas kelas yang sedang berputar kerana banyak nahu bahasa Inggeris yang silap. Mungkin ada yang menyatakan “garangnya”. Budak-budak yang buat bising di dalam kelas akan terus senyap sebaik sahaja mereka melihat kelibat seorang wanita bertubuh kecil dengan memakai pakaian Punjabi berwarna putih. Pada masa itu beliau dipanggil Sister Mangalam.

Ada masanya beliau akan berjalan membawa sebatang rotan, namun saya tidak pernah melihat beliau merotan mana-mana pelajar sepanjang 9 tahun saya belajar di sekolah berkenaan.

Bagi seorang anak kampung yang membesar di estet dan terpaksa menapak lebih 10km ke sekolah setiap pagi, saya memanglah tidak tahu apa-apa kecuali bermain sahaja. Itulah sebabnya mengapa bagi saya sesi perhimpunan pagi Sister Mangalam begitu unik. Semua pelajar begitu tekun mendengar ucapan beliau mengenai nilai kemanusian dan tingkah laku yang baik. Kami juga belajar senanam pernafasan dan memahami kepentingan berdoa.

Sister Mangalam tidak pernah sekali pun menonjolkan mana-mana agama kecuali berkata “agama seperti sungai yang mengarah ke lautan dipanggil Tuhan.” Semua murid tanpa mengira latar belakang agama berpegang kepada nilai-nilai kemanusiaan yang ditekankannya.

Di samping melaksanakan tugas sebagai guru, beliau banyak menghabiskan masa melibatkan diri dalam kegiatan yang diadakan di rumah anak yatim serta gelandangan yang diuruskan oleh Pure Life Society. Pada 1961, beliau menyandang jawatan presiden seumur hidup Pure Life Society ekoran kematian pengasasnya, H.H. Swami Dr. Satyananda, yang menjadi inspirasi dan mentor beliau sejak usianya 11 tahun.

Kehidupan beragamanya dipengaruhi agama Hindu, Buddha, Islam dan Kristian dan semuanya itu membawa kepada transformasi kehidupannya serta membimbing beliau dalam mengamalkan nilai-nilai kerohanian serta menghormati semua ajaran agama. Di samping peranannya sebagai presiden seumur hidup Pure Life Society, beliau juga melakar nama dalam usaha ‘inter-faith’ dan bidang penulisan.

Pada 1994, saya berpeluang berkhidmat sebagai setiausaha Pure Life Society dan bertuah dapat tunjuk ajar Mother Mangalam. Beliau seorang yang proaktif dan pemikirannya 100 batu ke depan daripada anda.

Ketika saya terkial-kial mahu menyiapkan minit mesyuarat, Mother bertanya sama ada saya sudah mengedarkan minit tersebut. Saya masih ingat pada suatu malam, ketika itu hujan dan Mother Mangalam muncul di depan pagar rumah saya dan bertanya sama ada saya sudah menyiapkan minit Mesyuarat Agung Tahunan.

Saya terkedu beberapa saat sebelum mempelawa beliau dan pembantunya masuk ke dalam rumah saya. Ketika isteri saya menghidangkan minuman panas dan berbual-bual dengan mereka, saya dengan pantas menyiapkan tugasan saya.

Bagi saya, Mother Mangalam adalah seorang yang amat penyayang. Memang beliau seorang yang tegas tetapi baik hati dan mahu mengubah kehidupan ribuan orang-orang yang kurang bernasib baik. Ramai daripada mereka kini menjalani kehidupan yang lebih baik, ada yang bekerjaya sebagai doktor, jurutera dan juruterbang. Rasa cinta dan sayang disemai oleh Mother Mangalam.

Beliau bukan sahaja memberi perlindungan di dalam Pure Life tetapi juga mengajar nilai kemanusian di kalangan anak-anak yang kurang bernasib baik ini. Beliau mendidik anak-anak di bawah penjagaannya termasuk saya sendiri segala nilai baik agar hidup senantiasa aman dan damai.

Dalam saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Mother Mangalam yang sememangnya berhak untuk menerima penghargaan itu, saya juga mahu merakamkan rasa terima kasih saya kepada Taylor’s University kerana memberi penganugerahan berkenaan.

Beliau menabur khidmat bakti tanpa mengira kaum, agama atau kedudukan ekonomi. Matlamat beliau mahu menggembirakan mereka yang memerlukan perhatian serta bantuan.

Kita mungkin tidak bertemu seorang lagi Mother Mangalam dalam era ini, justeru kenangilah beliau yang banyak menabur jasa dan bakti. Beliau umpama obor yang menerangi kehidupan golongan miskin. Mother Teresa tinggal nun jauh di Calcutta, tetapi Mother Mangalam tinggal di Puchong, Lembah Klang. Cuma saya agak terkilan kerana universiti awam tidak memberi pengiktirafan kepada wanita berjiwa kental ini.

Saya juga berasa bangga kerana dapat menyiapkan sebuah puisi untuk wanita hebat ini seiring dengan penganugerahan berkenaan. Saya secara peribadi bangga dapat berkhidmat dan mengenali lebih dekat Mother Mangalam.

Semoga kita akan terus mengenang serta mengingati wanita yang begitu murni hatinya yang sentiasa prihatin dengan golongan miskin dan kurang bernasib baik.

Pengamal komunikasi dan felo Institut Perhubungan Awam Malaysia, Ravindran Raman Kutty, berkongsi kisah kehidupan serta pencapaian pengasas dan presiden Pure Life Society, Datin Paduka Mother Mangalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.