
Bagaimanapun, bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah masih lagi bersama penyiasat.
Menurut SPRM, mereka hari ini dipanggil bagi melengkapkan proses akhir siasatan dan pendakwaan.
Badan anti-rasuah berkata ia mendapat izin Pejabat Peguam Negara untuk menuduh Najib dan Irwan di mahkamah esok.
Kedua-duanya akan dituduh bersama berhubung siasatan beberapa kes pecah amanah yang telah dilakukan oleh mereka melibatkan wang milik kerajaan.
Semalam, FMT melaporkan Najib dan Irwan dijangka didakwa bersama dengan sekurang-kurangnya 6 pertuduhan pecah amanah membabitkan RM6 bilion.
Pertuduhan itu dikaitkan dengan skandal 1MDB, projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) serta 2 projek saluran paip gas di Semenanjung dan Sabah.
Sumber memberitahu FMT yang Najib dan Irwan dijangka didakwa menggunakan peruntukan kerajaan untuk melangsaikan hutang 1MDB dengan Ipic.
1MDB dalam perjanjian penyelesaian bersetuju membayar AS$1.2 bilion kepada Ipic menerusi 2 ansuran pada Ogos dan Disember tahun lalu.
Sementara itu, dalam kes berasingan, SPRM turut mendapat izin untuk menuduh bekas ketua pengarah bahagian penyelidikan Jabatan Perdana Menteri Datuk Hasanah Ab Hamid berhubung isu pecah amanah melibatkan wang milik kerajaan.
Hasanah akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada hari yang sama dan mengikut seksyen yang sama.