Zahid: Gempa, tsunami di Indonesia hukuman Allah bagi LGBT

Zahid: Gempa, tsunami di Indonesia hukuman Allah bagi LGBT

Presiden Umno itu mendakwa bencana pada akhir bulan lalu ialah hukuman bagi lebih 1,000 orang di Palu yang terbabit dalam aktiviti LGBT.

KUALA LUMPUR:
Ketua pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyalahkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebagai punca gempa bumi dan tsunami melanda Palu, Indonesia, bulan lalu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, bencana alam itu ialah hukuman Allah bagi lebih 1,000 orang yang dilaporkan terbabit dalam aktiviti LGBT.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap situasi LGBT di Malaysia dan mempersoalkan pendirian Putrajaya terhadap golongan itu.

“Akibat itu, seluruh tempat itu diranapkan dan ini adalah hukuman Allah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

“Soalan saya ialah apa langkah diambil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk memastikan keberkesanan program (dalam menangani isu LGBT), memastikan rakyat Malaysia, khasnya mereka yang menolak LGBT dikecualikan daripada hukuman Allah?” soalnya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.

Mujahid (PH-Parit Buntar) berkata, pendirian dan dasar kerajaan persekutuan sangat jelas dengan satu-satunya perbezaan ialah pendekatan dalam isu itu.

Katanya, seramai 1,450 peserta menyertai program anjuran Jakim secara sukarela sejak 2011, di mana kerajaan persekutuan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri untuk menggalakkan penyertaan LGBT dalam program yang mendatangkan hasil positif.

“Ada yang berusaha menjauhi dan meninggalkan kecenderungan itu secara menyeluruh. Antara 2012 dan 2016, 3 bekas mak nyah dihantar menunaikan umrah. Responsnya ialah mereka mampu mencerminkan fundamental agama.”

Katanya, kerajaan melalui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan tegas menyatakan amalan LGBT tidak diterima di negara ini dan hak LGBT mengamalkan gaya hidup mereka tertakluk kepada undang-undang negara.

“Hak asasi warganegara sentiasa dipelihara berdasarkan acuan adat dan budaya di Malaysia serta kerangka Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan.”

Sementara itu, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad bertanya mengenai kaedah agama untuk menentukan hukum bala kerana kadangkala kenyataan sedemikian dibuat tanpa asas.

Mujahid berkata, bala hanya menimpa dengan izin Allah.

“Kalau kaji ayat-ayat al-Quran mengenai kaum-kaum yang dihancurkan dulu kerana amalan mereka, perbuatan mereka terlalu terserlah, tak segan silu buat secara terbuka. Maka, itulah diturunkan bala.

“Keadaan kita ini, isu LGBT walaupun permasalahan masih dalam kawalan, tak mudah buat contoh dan timpa bala. Kita perlu bincang bagaimana menanganinya supaya perkara mungkar tak berleluasa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.