
Operasi yang dijalankan sejak kejadian pada 1.56 tengah hari Jumaat lepas itu berjaya menemui 9 mayat terdiri daripada 3 lelaki Indonesia, 5 lelaki Bangladesh dan 1 wanita Myanmar.
Operasi yang melibatkan lebih 200 anggota penyelamat serta unit anjing pengesan (K9) bomba di kawasan seluas 9290.3 meter persegi (100,000 kaki persegi) itu ditamatkan petang ini selepas tiada lagi tanda-tanda menunjukkan terdapat mangsa di kawasan 3 sektor pencarian.
”Pukul 6.00 petang ini operasi SAR ditamatkan setelah pasukan penyelamat dengan bantuan unit anjing pengesan (K9) bomba tidak menemui sebarang tanda terdapat mayat mangsa di kawasan itu setelah semua timbunan tanah di 3 lokasi tanah runtuh itu dialihkan,” kata Pengarah Bomba Pulau Pinang Saadon Mokhtar.
Dua mayat ditemui pada Jumaat, 2 lagi mayat ditemui pada Sabtu manakala 3 mayat ditemui pada Ahad dan 2 lagi mayat ditemui semalam.
Mereka yang maut dikenali sebagai Samsul Asman, 19, (Indonesia); Bahtiar, 36, (Indonesia); Subaeri, 34, (Indonesia); Attarul, 35 (Bangladesh); Mustak Hossain, 25, (Bangladesh); Mithu Hossain, 30, (Bangladesh); Mohamad Jalil, 31 (Bangladesh); Mohamad Uzzal, 33, (Bangladesh) dan Khin Aye Khaing, 33, (wanita Myanmar).
Mereka yang cedera pula ialah Shamim, 24, (lelaki Bangladesh) yang masih dirawat di Hospital Pulau Pinang dan 3 wanita iaitu 2 Indonesia Wa Iri, 36, yang merupakan isteri kepada Bahtiar yang mengandung 4 bulan; dan Laduma serta 1 wanita Kemboja yang dikenali sebagai Norazizah, 24, yang juga isteri kepada Subaeri.
Sejak kejadian tanah runtuh itu, 10 orang dilapor hilang dikhuatiri tertimbus dan operasi mencari dan menyelamat yang berjalan selama 5 hari berjaya menemui 9 mayat mangsa di bawah runtuhan tanah manakala 1 lagi lelaki Bangladesh yang dikenali sebagai Mohamad Rahaz, 25, gagal ditemui.
Beliau berkata laporan kehilangan Mohamad Rahaz diterima daripada rakannya dan pasukan penyelamat melakukan pencarian di segenap kawasan yang runtuh itu termasuk dalam 13 kontena yang ditemui, tetapi tiada sebarang petunjuk yang diperolehi.
“Selepas Operasi SAR yang masuk hari ke-5 hari ini, pasukan penyelamat masih gagal mengesan mayat mangsa ke-10,” katanya.
Beliau berkata kerja-kerja pengalihan tanah oleh jentolak selesai 5.00 petang dan unit anjing pengesan mengambil masa kira-kira 1 jam untuk membuat pengesanan dan pembersihan akhir tetapi tetap gagal mengesan sebarang petunjuk.
Tanah runtuh di tapak projek pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus itu turut menyebabkan 13 kontena dan rumah kongsi penempatan pekerja asing projek itu tertimbus.