
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Dr Adzman Hedra berkata, jika pasukan teknikal masih gagal mengesan undi itu, mesyuarat Biro Politik akan membuat keputusan mengenainya.
“Pasukan teknikal masih berusaha mengesan undi yang gagal dikira dari ‘cloud’, tetapi jika masih gagal dikesan, kita akan bawa cadangan kepada pimpinan tertinggi membuat keputusan sama ada proses pemilihan itu perlu dibuat semula atau tidak,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Mesyuarat Biro Politik PKR dijangka diadakan 8.30 malam esok di lokasi yang belum ditentukan.
Semalam, Pengerusi PKR Melaka, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kira-kira 60% atau 2,000 undi yang dijalankan melalui sistem e-undi tidak dapat dikesan, sekaligus jumlah undi daripada beberapa bahagian gagal dikira.
Terdahulu, dalam satu laporan portal, Pengerusi JPP, Datuk Rashid Din berkata, pihaknya akan mencadangkan pemilihan parti di Melaka dan Negeri Sembilan yang sepatutnya selesai Sabtu lalu, diadakan semula jika undi “hilang” itu tidak ditemui dalam masa 24 jam.
Semalam, calon timbalan presiden, Rafizi Ramli dalam Twitternya memaparkan keputusan pemilihan di Negeri Sembilan dan Melaka yang menunjukkan beliau mendahului penyandang, Datuk Seri Azmin Ali.
Menurut tweet itu, keputusan tidak rasmi di Negeri Sembilan (tanpa keputusan bahagian Jelebu) menunjukkan Rafizi mendahului Azmin dengan 3,153 undi berbanding 2,961 undi.
Di Melaka, tanpa kiraan undi di bahagian Tangga Batu dan Jasin, Rafizi mendahului dengan 1,174 undi berbanding Azmin yang memperoleh 943 undi.
Sementara itu, 5 ketua bahagian PKR Melaka membantah pemilihan parti diadakan semula kerana ia akan menjejaskan nama baik parti itu.
Timbalan Pengerusi PKR Melaka, Gue Teck berkata, selain menjejaskan nama baik, ia tentu akan melibatkan kewangan dan masa, manakala ahli tidak berpuas hati pula mungkin tidak akan mengundi.
Selain Gue, 4 lagi ketua bahagian yang berpandangan sama ialah Dr Ahmad Abdul Wahid (Alor Gajah), Halim Bachik (Masjid Tanah), Kapten (B) Zulkifli Othman (Jasin) dan Mohd Rafee Ibrahim (Bukit Katil).
Gue yang juga Adun Klebang memberitahu pemberita di Melaka, hari ini, pemaju tablet (e-undi) memberi jaminan semua data dan maklumat terjamin serta terkawal.
Katanya, beliau dan 4 ketua bahagian itu menyarankan mesyuarat tergempar diadakan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Gue yang juga calon ketua bahagian Tangga Batu berkata, masalah teknikal menimbulkan keraguan dalam kalangan banyak pihak, apatah lagi apabila kemungkinan JPP akan mengadakan pemilihan semula, seperti yang dilaporkan media.
JPP PKR Melaka menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan rasmi pemilihan di 4 bahagian melibatkan Jasin, Tangga Batu, Masjid Tanah dan Kota Melaka belum dapat diumumkan akibat masalah teknikal.
Pemilihan PKR Melaka diadakan Sabtu lalu melibatkan 9,387 ahli parti layak mengundi bagi memilih barisan pemimpin di peringkat pusat dan 6 bahagian di negeri itu.