Beri 10% kontrak kepada masyarakat India, cadang Ahli Parlimen PKR

Beri 10% kontrak kepada masyarakat India, cadang Ahli Parlimen PKR

Dana dalam Unit Pembangunan Sosio-Ekonomi Masyarakat India (SEDIC) sahaja tidak mampu menyelesaikan masalah sosiao ekonomi masyarakat India.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berkata cadangan itu akan dibawa ke Kabinet dan dikemukakan kepada kerajaan.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen PKR Padang Serai, Karupaiya Mutusami mencadangkan supaya 10% daripada kontrak kerajaan atau swatsa diberikan kepada kaum India bagi meningkatkan sosio ekonomi mereka.

Beliau berkata dana dalam Unit Pembangunan Sosio-Ekonomi Masyarakat India (SEDIC) sahaja tidak mampu menyelesaikan masalah sosiao ekonomi masyarakat India.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy berkata cadangan itu akan dibawa ke Kabinet dan akan dikemukakan kepada kerajaan.

“Untuk maklumat Yang Berhormat (Karupaiya) cadang itu akan diambil kira supaya 10% peluang kontrak kerajaan diberikan kepada masyarakat India. Ia akan dibawa ke Kabinet dan akan dikemukakan kepada kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Karupaiya.

Sebelum itu, Waytha berkata walaupun kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini mengemukakan pelan induk atau “blueprint” untuk pembangunan masyarakat India, tetapi malangnya penyaluran wang itu tidak semua sampai kepada sasaran.

Beliau berkata disebabkan itu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mengarahkan satu audit bagi mengesahkan jumlah sebenar yang sampai kepada rakyat.

Watya berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Cameron Highland Datuk C Sivarraajh tentang rancangan kerajaan PH untuk masyarakat India.

Dalam pada itu, Waytha berkata kerajaan telah membelanjakan lebih RM203 juta bagi pembangunan sosio-ekonomi masyarakat India dari tahun 2014 sehingga 2017.

Beliau berkata Unit Pembangunan Sosio-Ekonomi Masyarakat India (SEDIC) yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal masyarakat India menaruh harapan tinggi kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk mengagihkan peruntukan yang setimpal kepada masyarakat India dalam Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan pada 2 November ini.

“Berdasarkan peruntukan kewangan yang diberi dalam Belanjawan 2019, saya akan memastikan hala tuju SEDIC untuk melaksanakan program pembangunan sosio-ekonomi masyarakat India dipertingkatkan dan mencapai agenda memperkasa kumpulan itu, terutamanya mereka dalam golongan B40.

“Antara perancangan yang telah dikenalpasti dan dalam pertimbangan, termasuklah memperkenalkan program memperkasa wanita India, meneruskan penglibatan B40 dalam agenda pembangunan negara, menggalakkan pemilikan perumahan dan sebagainya,” katanya,

Beliau berkata pendekatan yang bakal dicadangkan akan memberi penekanan kepada 6 teras iaitu, sekolah Tamil dan prasekolah, merealisasikan potensi kanak-kanak atau remaja; meningkatkan penyertaan sosial dan isu berkenaan tempat ibadat; menambah baik kehidupan dan kekayaan; pekerjaan dan keusahawanan; penyampaian kepada komuniti dan projek khas; dan suntikan ekuiti.

Waytha berkata SEDIC kini sedang menjalani perubahan drastik dalam usaha memastikan agensi ini bersifat “people centric” dan sentiasa relevan khususnya kepada masyarakat India di negara ini.

“Saya maklumkan bahawa Jabatan Audit Negara telah pun memulakan pengauditan terhadap SEDIC pada 26 September 2018,” tambahnya.

“Sesi audit ke-2 (pengauditan terperinci) akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan jangka masa penyelesaian audit secara sepenuhnya dijangka mengambil masa 6 ke 8 bulan memandangkan ia melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan agensi luar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.