PKR nafi Rafizi menang, belum muktamad kerana ‘glitch’

PKR nafi Rafizi menang, belum muktamad kerana ‘glitch’

Jawatankuasa pemilihan pusat juga menafikan gangguan kecil atau kerosakan rawak yang dikatakan itu adalah kehabisan data internet.

PETALING JAYA: Jawatankuasa pemilihan pusat PKR hari ini menyangkal pengumuman kemenangan di Melaka dan Negeri Sembilan oleh calon timbalan presiden Rafizi Ramli kerana “technical glitch” menyebabkan keputusan penuh pemilihan di 2 negeri itu belum boleh ditentukan.

Gangguan kecil atau kerosakan rawak itu menyebabkan keputusan hanya boleh dimuktamadkan esok, kata Pengerusi Datuk Rashid Din.

“Enam bahagian masih tidak ada keputusan lagi. Satu di Negeri Sembilan manakala 5 di Melaka. Harap esok kita dapat keputusan,” katanya kepada FMT.

Rashid menepis pengumumman oleh Rafizi semalam sebagai kenyataan peribadi.

“Siapa kata Rafizi menang? Dia yang kata jadi biarlah dia kata. Buat masa ini tidak ada sesiapa lagi yang menang…macam separuh masa bola, Rafizi cuma mendahului, bukan menang,” katanya.

Semalam, Rafizi berkata keputusan tidak rasmi di Melaka dan Negeri Sembilan menunjukkan beliau memperoleh 55% undi di Melaka dan 52% di Negeri Sembilan berbanding pesaingnnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau juga berkata keputusan bagi Rembau, Teluk Kemang dan Jelebu di Negeri Sembilan, dan Kota Melaka, Jasin dan Tangga Batu di Melaka akan lewat diterbitkan kerana “masalah internet” yang menyebabkan banyak undi belum dihantar kepada pelayar.

Rashid hari ini menafikan gangguan kecil atau kerosakan rawak yang dikatakan itu adalah kehabisan data internet.

“Siapa kata? Tidak ada. Internet ada had ke, tidak ada had,” katanya.

Sementara itu, Rashid memberitahu pemilihan di 8 bahagian di Selangor hari ini berlangsung tanpa masalah.

“Kita ada rancangan sandaran,” katanya.

Rashid turut menjawab ketidakpuasan hati Azmin tentang kelewatan mengundi di PKR Gombak dan mengesahkan pengundian di bahagian itu diadakan lewat 15 minit.

Oleh demikian tempoh pengundian akan dilewatkan selama itu juga, katanya.

“Tidak ada masalah. Lewat sikit nak mengadu, susahlah. Orang bekerja, bukan robot,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.