Lebih 36,000 anggota PKR Negeri Sembilan tunai hak pagi ini

Lebih 36,000 anggota PKR Negeri Sembilan tunai hak pagi ini

Pemilihan PKR Negeri Sembilan berlangsung hari ini selepas ditangguhkan bagi memberi laluan kepada sesi penamaan calon pilihan raya kecil Port Dickson minggu lepas.

Pemilihan PKR Negeri Sembilan menyaksikan Menteri Besar Aminuddin Harun yang juga naib ketua Cabang PKR Seremban bertanding merebut jawatan ketua Cabang Tampin. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Proses pemilihan PKR peringkat Negeri Sembilan, yang mempunyai 36,970 orang anggota disahkan layak mengundi, berlangsung hari ini di kesemua lapan cabang di negeri ini.

Pemilihan PKR Negeri Sembilan berlangsung selepas ditangguhkan bagi memberi laluan kepada sesi penamaan calon Pilihan Raya Kecil Port Dickson, 29 Sept lepas.

Kesemua 8 cabang berkenaan ialah Jelebu dengan keanggotaan seramai 3,439, Jempol (3,353), Seremban (4,959), Kuala Pilah (2,876), Rasah (3,807), Rembau (6,421), Telok Kemang (8,333) dan Tampin (3,782).

Proses pengundian yang menggunakan kaedah ‘e-voting’ atau e-undi itu berlangsung dari pukul 10 pagi sehingga 5 petang.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Datuk Rashid Din berkata anggota polis dan Rela ditempatkan di setiap pintu masuk pusat pengundian bagi memantau serta mengawal keadaan keselamatan.

“Anggota polis juga akan berada di ‘hotspot’ yang dikenal pasti juga bagi memantau keadaan keselamatan,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, pegawai tempat mengundi juga dipilih dalam kalangan mereka dari luar Negeri Sembilan bagi mengelakkan sebarang situasi berat sebelah.

Pemilihan PKR Negeri Sembilan menyaksikan Menteri Besar Aminuddin Harun yang juga naib ketua Cabang PKR Seremban bertanding merebut jawatan ketua Cabang Tampin.

Aminuddin yang menyandang jawatan itu selama 2 penggal sebelum ini akan menentang Timbalan Presiden Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan), Kapten (B) Zulkapli Kassim yang sudah 2 penggal mengetuai cabang Tampin.

Selain itu, ketua Cabang Rasah menyaksikan perlawanan 3 penjuru yang turut menjadi perebutan dua beradik iaitu ketua penerangan PKR negeri Mokhtar Ahmad menentang abangnya Ismail merangkap pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Labu.

Mokhtar dan Ismail akan berdepan bekas timbalan ketua Cabang Rasah, M Madurai bagi merebut jawatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.