Laporan RMK11: Alasan berjimat akan sebabkan ekonomi terus merosot, kata Pemuda UMNO

Laporan RMK11: Alasan berjimat akan sebabkan ekonomi terus merosot, kata Pemuda UMNO

Ekonomi negara akan terus merosot berikutan sikap 'flip flop' dan 'u-turn' kerajaan.

Shahril berkata, falasi hutang negara RM1 trilion tidak menguntungkan, malah menjadi barah yang merugikan ekonomi Malaysia.
PETALING JAYA:
Pengurangan peruntukan kerajaan atas alasan penjimatan yang bayangkan oleh perdana menteri semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) akan menyebabkan ekonomi negara terus merosot, kata Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.

Ketika dihubungi FMT Sahril berkata ekonomi negara akan terus mengalami kemerosotan yang berpunca daripada sikap ‘flip flop’ dan ‘u-turn’ kerajaan hari ini.

“Ini ditambah pula dengan perkembangan perang perdagangan Amerika Syarikat-China serta kejatuhan harga komoditi negara seperti kelapa sawit dan getah. Sudah tentu impak negatif akan dirasai dalam ekonomi domestik,” katanya

Shahril berkata pembentangan kajian separuh penggal itu juga memberi gambaran tentang Bajet 2019 yang bakal dibentangkan pada 2 Nov yang dikatakan belanjawan yang akan memerlukan pengorbanan rakyat.

“Terdapat cakap-cakap bahawa banyak inisiatif serta insentif diberikan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini akan dipotong atas alasan kedudukan kewangan negara yang tidak stabil. Ini jelas kontradik dengan pelbagai data dan statistik yang dinyatakan dalam laporan Kajian Separuh Penggal RMK11 itu,” kata beliau

Katanya kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerap mengulangi tentang bebanan hutang negara berjumlah RM1 trilion, tetapi laporan RMK11 jelas menyebut kedudukan hutang negara sehingga penghujung tahun lalu adalah berjumlah RM689 bilion atau 50.8% KDNK.

“Falasi hutang negara yang kononnya berjumlah RM1 trilion ini langsung tidak menguntungkan Malaysia malah ia menjadi barah buat negara,” katanya.

“Buktinya, aliran dana asing keluar dari Malaysia pasca 9 Mei 2018 telah mengatasi jumlah aliran masuk yang berjaya diraih.

“Secara tidak langsung, falasi hutang negara ini memberi gambaran bahawa hala tuju fiskal dan ekonomi negara sedang dikawal oleh individu yang tidak memahami situasi serta persekitaran sebenar kedudukan fiskal dan ekonomi negara,” katanya.

Khamis lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang merupakan rancangan pembangunan 5 tahun terakhir (2016-2020) ke arah menzahirkan matlamat Wawasan 2020.

Kali terakhir Dr Mahathir membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia di Dewan Rakyat adalah pada 31 Okt 2003, iaitu kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8) sebagai mengakhiri tugasan beliau sebagai perdana menteri, jawatan yang dipegang beliau selama 22 tahun sebelum digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ia merupakan pembentangan laporan RMK kali pertama oleh kerajaan PH sejak mengambil alih kerajan selepas pilihan raya umum lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.