
Beliau berkata, bekas banduan terdiri daripada belia yang selesai menjalani hukuman itu akan berkhidmat dengannya bagi tempoh tertentu yang akan ditetapkan kemudian.
Katanya, ia permulaan kepada program kempen “Riben Kuning” yang dilaksanakan kementeriannya bagi mengubah pandangan masyarakat terhadap bekas banduan, terutamanya belia dan seterusnya memberi peluang kedua kepada mereka.
“Saya akan berbincang secara mendalam dengan Jabatan Penjara dan kementerian berkaitan agar bekas banduan belia dapat ditempatkan di pejabat saya dan saya sendiri akan pantau mereka.
“Kita perlu kotakan janji kita. Kalau saya sendiri lancar kempen ini, tetapi saya tidak buat, bagaimana kita nak ‘expect’ pihak swasta dan masyarakat menerima bekas banduan,” katanya selepas melancarkan program itu di Penjara Sungai Buloh hari ini.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Penjara, Kementerian Dalam Negeri serta badan bukan kerajaan itu bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat dan meningkatkan sistem sokongan bagi bekas banduan.
Syed Saddiq berkata, jika bekas banduan itu dapat berkhidmat dengan baik di pejabatnya, ia akan membuktikan masyarakat juga boleh menerima mereka dan memberi sokongan kepada mereka.
Terdahulu, Syed Saddiq dalam ucapannya berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan daripada kerajaan dan swasta bagi mencari mekanisme lebih baik untuk bekas banduan belia menjalani kehidupan selepas menjalani hukuman.
Katanya, tidak adil apabila belia yang melakukan kesilapan dipinggirkan selepas keluar dari penjara, sedangkan mereka mempunyai masa depan panjang dan perlu dibantu bagi mengelak melakukan kesilapan berulang.