
Serangan pada Khamis itu meragut nyawa sekurang-kurangnya 4 pegawai tinggi wilayah tersebut, termasuk ketua polisnya Jeneral Abdul Raziq, menurut jurucakap istana presiden, Shah Hussain Murtazawi.
“Selaras dengan hasrat penduduk Kandahar dan syor suruhanjaya pilihan raya, majlis keselamatan nasional dalam mesyuaratnya telah memutuskan untuk menangguhkan pilihan raya di Kandahar selama seminggu,” kata Hussain Murtazawi di Twitter.
Lebih 2,500 calon bertanding bagi merebut 249 kerusi dalam Wolesi Jirga atau dewan rakyat parlimen Afghanistan.
Pilihan raya dijadualkan berlangsung pada 20 Oktober dengan kira-kira 9 juta pengundi yang layak dijangka membuang undi di tengah-tengah kawalan keselamatan yang ketat.
Militan Taliban, yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan pada Khamis dan mengorbankan ketua polis wilayah itu, berikrar untuk mengganggu proses pengundian pada Sabtu.