
Ketua Setiausaha Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dalam kenyataan berkata kementerian telah mengkaji dan menyiasat perkara dan mendapati segala urusan perolehan dibuat dengan teratur dan mengikut tatacara Kementerian Kewangan.
Chen juga berkata kementerian juga melaporkan dakwaan mengenai pelantikan ejen, penglibatan ahli politik atau bekas pegawai kanan kerajaan dalam urusan perolehan dan monopoli kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
“Setakat ini tidak ada perkara di luar aturan yang dilaporkan terhadap KKM,” katanya.
Kementerian berharap tiada lagi pihak membuat andaian atau persepsi mengenai pengurusan perolehan “yang boleh mengelirukan rakyat”.
Awal hari ini, pengadu di sebalik dakwaan rasuah dalam pembekalan ubat ke hospital-hospital kerajaan kecewa kerana tiada tindakan diambil.
Pemberi maklumat berkata dia langsung tidak dihubungi oleh kementerian untuk sebarang maklumat walaupun dosir tentang dakwaan korupsi itu dihantar kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan 2 media.
Dalam dokumen 12 halaman yang dilihat FMT pada Jun, didakwa syarikat-syarikat berkaitan ahli politik yang rapat dengan kerajaan dulu mengawal bekalan ubat bernilai berbilion ringgit.
Dokumen itu menyenaraikan 20 syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan ahli politik terkenal, termasuk para menteri yang memegang jawatan dalam Umno. Syarikat-syarikat itu dikatakan berperanan sebagai “ejen tender” untuk lebih 70 syarikat farmaseutikal dan meraih ganjaran bernilai RM3.7 bilion antara 2013 dan 2016.
Pemberi maklumat kini berkata siasatan lanjut mendedahkan antar 2010 dan bulan lalu, 6 ejen tender menerima 92.21% daripada RM6,435,975,589, yang merupakan jumlah nilai kontrak yang diberikan dalam tempoh itu.
Susulan pendedahan itu, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago membuat laporan ke SPRM tetapi belum menerima sebarang respon.