Kajian RMK11: Perkukuh pertumbuhan ekonomi untuk pulih kewangan negara

Kajian RMK11: Perkukuh pertumbuhan ekonomi untuk pulih kewangan negara

Untuk memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi, kerajaan akan menambah baik perhubungan merentasi wilayah bagi melancarkan aktiviti perniagaan, selain menggalakkan pendigitalan bagi memastikan PKS kembali dinamik.

PETALING JAYA:
Kerajaan akan memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi dalam usaha memulihkan struktur kewangan negara.

Ia termasuk dalam tonggak ke-5 memperkukuhkan pertumbuhan sektor dan mentransformasi struktur, mempercepatkan inovasi dan menyediakan infrastruktur berkualiti menerusi Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) 2016 hingga 2020 yang dikeluarkan hari ini.

Menerusi RMK11, sektor perkhidmatan akan terus dijadikan pemacu utama pertumbuhan ekonomi dengan memberi tumpuan kepada peningkatan daya saing dan produktiviti sektor perkhidmatan serta mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi.

Dalam merealisasikan produktiviti sektor perkhidmatan, kerajaan menggalakkan lebih banyak penggunaan teknologi digital ke arah mewujudkan ekonomi tanpa tunai.

“Kemajuan pesat dalam ekonomi digital dan penumpuan teknologi, termasuk teknologi disruptif telah memberi kesan kepada kerajaan, perniagaan dan individu dalam pelbagai aspek merangkumi daya saing ekonomi sehingga kepada gaya hidup seharian.

“Kemunculan teknologi disruptif, termasuk e-panggilan seperti Uber dan Grab telah mengubah mobiliti manusia dalam bentuk baru yang tidak pernah dijangka,” menurut laporan itu.

Sumbangan PKS lemah, perlu pendigitalan

Kajian Separuh Penggal RMK11 tutut mendedahkan sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) masih di tahap rendah kerana hanya menyumbang 37.1% tahun lalu, walaupun industri itu merupakan sumber terbesar dalam penyediaan pekerjaan.

“Kebanyakan PKS masih bergantung kepada teknologi rendah dan terlibat dalam aktiviti mempunyai nilai tambah rendah.”

Bagi memastikan PKS kembali dinamik, kerajaan akan melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk menggalakkan pendigitalan bagi industri itu.

“Pendigitalan berpotensi besar untuk meningkatkan jangkauan PKS ke pasaran global, mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan mahir.

“Program latihan juga akan ditambah baik bagi menggalakkan penggunaan ICT, khusus dalam bidang logistik kewangan dan insurans.”

Sistem pengangkutan bersepadu

Dalam usaha memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi, pembangunan sistem pengangkutan antara faktor penting dan kerajaan akan menambah baik perhubungan merentasi wilayah bagi melancarkan aktiviti perniagaan.

“Beberapa fasa projek Central Spine Road (CSR) yang telah siap akan memperkukuhkan ketersambungan antara negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia, manakala Lebuhraya Pan Borneo akan menambah baik akses di Sabah dan Sarawak.

“Lebuh raya ini dijangka membuka kawasan baru serta merangsang aktiviti ekonomi.

“Di samping itu, bagi mencapai pembangunan wilayah lebih seimbang, pembinaan lebuh raya di luar Lembah Klang akan diberi keutamaan.”

Bagi perkhidmatan rel, projek landasan berkembar dari Gemas ke Johor yang akan siap pada 2021 mampu mengurangkan masa perjalanan antara wilayah utara dan selatan di Semenanjung.

Selain pengangkutan darat, kerajaan turut menekankan sistem pengangkutan udara, termasuk pembesaran terminal lapangan terbang.

“Pembesaran terminal, pemanjangan landasan dan penambahbaikan kemudahan lapangan terbang akan dilaksanakan di lapangan terbang terpilih, seperti Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang untuk meningkatan kapasiti dan kecekapan.

“Kerja menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi yang dijangka siap hujung tahun ini akan dapat mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keselesaan penumpang.

“Dengan siapnya Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur pada 2020, bilangan pergerakan pesawat dapat ditingkatkan daripada 68 pergerakan setiap jam kepada 108 bagi mengukuhkan kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).”

Pelan pembangunan RMK11 mengandungi pelaksanaan dasar baru dan sedia ada yang ditambah baik berdasarkan keperluan ekonomi semasa dengan tumpuan utama menjurus kepada pembangunan infrastruktur rakyat.

RMK11 merupakan rancangan pembangunan 5 tahun dari 2016 hingga 2020 ke arah merealisasikan matlamat Wawasan 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.