PM: Malaysia kembali jadi Harimau Asia jika rakyat bersatu

PM: Malaysia kembali jadi Harimau Asia jika rakyat bersatu

Dr Mahathir Mohamad menyeru rakyat bersatu mengembalikan imej Malaysia daripada negara kleptokrat kepada negara demokrasi.

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) yang dibentangkan hari ini bertujuan mengembalikan maruah Malaysia untuk kembali dihormati selepas dirosakkan kerajaan terdahulu.

Perdana menteri turut menyeru rakyat bersatu mengembalikan imej Malaysia daripada negara kleptokrat kepada negara demokrasi.

“Saya mengajak semua rakyat Malaysia menggalas tanggungjawab ini. Jika semua yang terkandung dalam dokumen ini dilaksanakan, saya yakin Malaysia akan mengaum kembali sebagai Harimau Asia.

“Imej Malaysia akan bertukar daripada sebuah negara kleptokrat kepada sebuah negara demokrasi tulen dengan kerajaan yang bersih, luhur dan berintegriti.

“Rakyat Malaysia di mana-mana tempat di seluruh dunia boleh memperkenalkan dirinya dengan bangga: Saya rakyat Malaysia,” katanya ketika membentangkan laporan itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Laporan kajian itu merangkumi 6 tonggak utama – mereformasi tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam, memperkukuh pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat, menuju ke arah pembangunan wilayah seimbang, memperkasa modal insan, mempertingkat kemampanan alam sekitar melalui pertumbuhan hijau dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi.

Perdana menteri berkata, Malaysia akan kembali dihormati negara lain dan boleh memperjuangkan kepentingan negara kecil di pentas dunia, jika rakyat berjaya menebus maruah negara.

“Malaysia boleh kembali menyuarakan kepentingan negara-negara kecil di forum dunia. Ini yang dilakukan baru-baru ini di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

“Apa yang saya bentangkan adalah untuk rakyat. Untuk semua rakyat dari Perlis hingga Sabah. Untuk orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut dan Orang Asli dan etnik lain yang semuanya bernaung di bawah langit Malaysia.”

Kajian Separuh Penggal RMK11 akan dibahaskan di Dewan Rakyat selama 2 minggu, sebelum digulung Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pelan pembangunan itu mengandungi pelaksanaan dasar baru dan sedia ada yang ditambah baik berpandukan keperluan ekonomi semasa, dengan tumpuan utama menjurus kepada pembangunan infrastruktur rakyat.

RMK11 ialah rancangan pembangunan 5 tahun (2016 hingga 2020) terakhir ke arah merealisasikan matlamat Wawasan 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.