
Sambil mendakwa MyAQSA organisasi pertama di dunia memfailkan tuntutan berhubung Resolusi 2334 terhadap Israel, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Noorazman Mohd Samsuddin berkata, pemfailan itu yang dibuat secara formal semalam bertujuan memastikan keadilan dapat ditegakkan untuk rakyat Palestin.
“Malaysia merupakan negara yang mengusulkan pengaktifan Resolusi 2334 itu pada 23 Disember 2016 (dan) mendapat pengundian menyeluruh 14-0 dan menjadi amat bererti untuk MyAQSA, sebuah badan bukan kerajaan yang juga dari Malaysia memfailkan tuntutan ini,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurutnya, Resolusi 2334 menyatakan penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967, termasuk Baitulmaqdis Timur adalah pencerobohan tidak sah dan menyalahi undang-undang antarabangsa.
“Resolusi ini menghendaki Israel menghentikan segera segala aktiviti haram di wilayah Palestin, termasuk Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat.”
Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan Israel melanggar Resolusi 2234 ialah penghinaan kepada PBB.
Noorazman berkata, kajian MyAQSA menunjukkan Israel mencabuli sekurang-kurangnya 28 resolusi Majlis Keselamatan PBB, namun tiada tindakan jelas dan tegas dilakukan mana-mana pihak berkuasa.
“Pelanggaran resolusi ini melibatkan ribuan rakyat Palestin teraniaya tanpa pembelaan sewajarnya.”
Katanya, jenayah perang jelas berlaku, apabila Israel melakukan aktiviti jenayah seperti merampas tanah, meruntuhkan rumah, membinasakan ladang dan perkampungan serta menangkap rakyat Palestin secara haram di Tebing Barat, Palestin yang diisytiharkan Deklarasi Hak-hak Kemanusiaan Antarabangsa oleh Carta PBB pada Konvensyen Geneva ke-4 dan Majlis Keselamatan PBB Resolusi 2334.
Mengulas tuntutan MyAQSA di ICC, Noorazman berkata, ia memohon ICC memulakan siasatan berdasarkan maklumat jenayah itu yang diterima menurut bidang kuasa mahkamah itu.
“Pelbagai bukti konkrit didokumentasikan dengan baik. Di samping itu, terdapat banyak laporan berita serta laporan (berhubung jenayah itu) oleh individu dan organisai hak asasi manusia.”
Beliau berkata, MyAQSA yakin pencabulan Resolusi 2334 akan menimbulkan huru-hara dan ketidakstabilan keselamatan bukan sahaja di Asia Barat, tetapi juga seluruh dunia.