Kes wartawan hilang: Menteri Perancis batal lawatan ke Saudi

Kes wartawan hilang: Menteri Perancis batal lawatan ke Saudi

Wartawan terkenal Arab Saudi, Jamal Khashoggi dilaporkan hilang selepas memasuki Konsulat Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

Menteri Kewangan Perancis, Bruno Le Maire tidak akan ke Riyadh sehingga misteri kehilangan wartawan, Jamal Khashoggi diselesaikan. (Gambar Reuters)
PARIS:
Menteri Kewangan Perancis, Bruno Le Maire tidak akan mengambil bahagian dalam persidangan pelaburan Arab Saudi, selagi nasib wartawan yang dilaporkan hilang, Jamal Khashoggi tidak diketahui, lapor agensi berita China, Xinhua memetik media tempatan.

“Saya tidak akan ke Riyadh minggu depan. Presiden negara itu telah menyatakan perkara ini adalah serius dan kami ingin mengetahui kebenarannya,” kata Le Maire kepada saluran berita tempatan, Public Senat, hari ini.

Menteri itu berkata, beliau sudah memaklumkan keputusan membatalkan kehadirannya di persidangan “Davos of the desert” kepada rakan sejawat dari Arab Saudi, semalam.

“Terserah kepada pihak berkuasa Arab Saudi untuk memberikan pencerahan dalam kes ini. Sehingga siasatan selesai, lebih baik tidak ke Riyadh,” katanya.

Ditanya jika keputusan itu boleh menjejaskan hubungan dua hala antara Perancis dan Arab Saudi, Le Maire berkata: “Semestinya tidak.”

“Arab Saudi merupakan rakan strategik Perancis dan perkara itu (pembatalan perjalanan) tidak akan menjejaskan perkongsian antara kedua-dua negara.”

Ramai wakil kerajaan, eksekutif perniagaan berprofil tinggi dan pemimpin pemiutang dunia, termasuk Tabung Kewangan Antarabangsa serta Bank Dunia, mengumumkan keputusan memboikot forum itu, susulan misteri kehilangan wartawan berusia 60 tahun itu.

Khashoggi dilaporkan hilang, selepas beliau memasuki Konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

Laporan yang tidak sahih menyatakan Khashoggi mungkin dibunuh dalam kawasan konsulat itu, dakwaan yang disifatkan pegawai Arab Saudi sebagai “tidak berasas”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.