Kajian RMK11: Automasi, isu pekerja asing, 30% penyertaan wanita dapat perhatian utama

Kajian RMK11: Automasi, isu pekerja asing, 30% penyertaan wanita dapat perhatian utama

Automasi dan mekanisasi sebagai usaha mengurangkan kebergantungan pada pekerja asing berkemahiran rendah.

Sasaran 30% penglibatan wanita dalam lembaga pengarah syarikat milik kerajaan, badan berkanun dan syarikat awam diteruskan menjelang tahun 2020.
PETALING JAYA:
Kerajaan akan menggalakkan automasi dan mekanisasi, terutamanya dalam sektor pembuatan dan pertanian sebagai usaha untuk mengurangkan kebergantungan pada pekerja asing berkemahiran rendah.

Perkara itu termasuk dalam tonggak keempat iaitu “memperkasa modal insan” di bawah strategi ketiga menerusi Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) 2016-2020 yang dikeluarkan hari ini.

Selain itu, untuk sektor pembinaan, kerajaan juga akan terus menggalakkan pelaksanaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang juga bertujuan mengurangkan jumlah pekerja asing berkemahiran rendah.

“Sistem levi berperingkat yang progresif berasaskan kepada jumlah pekerja asing yang digaji akan dilaksana untuk mengurang dan mengawal selia bilangan pekerja asing dengan lebih ketat,” kata laporan itu.

Menerusi RMK11 itu juga, kerajaan akan meminda Akta Kerja 1955 bagi menetapkan keperluan mandatori ke atas majikan supaya membayar gaji pekerja asing melalui sistem perbankan.

“Langkah ini akan membolehkan pengurusan lebih baik seperti mencegah eksploitasi serta memantau pengiriman wang oleh pekerja asing,” katanya.

Pindaan lain di bawah akta itu melibatkan pertambahan bilangan hari cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari bagi menyokong ibu yang bekerja di sektor swasta.

“Di samping itu, peraturan kemudahan penjagaan kanak-kanak akan dikaji semula untuk memudahkan majikan menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja atau di kawasan berhampiran,” kata laporan itu.

Mulai Januari tahun hadapan, semua agensi kerajaan perlu menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak untuk kakitangan.

Laporan itu juga menyebut, berdasarkan RMK11 usaha untuk mencapai sekurang-kurangnya 30% penglibatan wanita dalam lembaga pengarah syarikat milik kerajaan, badan berkanun dan syarikat awam tersenarai akan diteruskan menjelang tahun 2020.

Selain itu, di bawah tonggak memperkasa modal insan ini juga, lebih banyak sekolah akan digalakkan untuk melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) untuk pengajaran mata pelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris.

“DLP menyediakan opsyen kepada ibu bapa untuk menentukan bahasa pilihan bagi pendidikan kanak-kanak,” menurutnya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.