UNCTAD: FDI menurun 40%, terutama di negara maju

UNCTAD: FDI menurun 40%, terutama di negara maju

Pengarah Bahagian Pelaburan dan Perusahaan UNCTAD, James Zhan berkata, gambaran keadaan kewangan dunia adalah 'suram'.

Walaupun paras FDI negara maju merosot, alirannya ke ekonomi membangun turun ‘hanya sedikit’ dalam separuh pertama tahun ini sebanyak 4% kepada AS$310 bilion, berbanding 2017.
NEW YORK:
Pelaburan asing langsung (FDI) mencatatkan penurunan dalam separuh pertama 2018, jatuh sebanyak 40% tahun ke tahun, kata Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD).

Bagaimanapun, penurunan AS$470 juta itu kebanyakannya adalah dari negara maju dan negara perindustrian, terutamanya di Amerika Utara dan Eropah Barat, dan tidak banyak melibatkan negara membangun.

Ini merupakan inti daripada mesej UNCTAD pada Isnin.

Bercakap mengenai situasi kewangan global, Pengarah Bahagian Pelaburan dan Perusahaan UNCTAD, James Zhan berkata gambaran keadaan kewangan dunia adalah “suram”.

Beliau menekankan kepentingan FDI, dengan menyatakan ia menyediakan akses modal luaran, teknologi, akses pasaran dan sumbangan cukai kepada negara yang menerima pelaburan.

Menurut UNCTAD, perkembangan ini disebabkan terutamanya daripada langkah pembaharuan cukai di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini yang menggalakkan syarikat besar di sana membawa balik pendapatan dari luar negara – terutamanya dari negara Eropah Barat.

Zhan berkata agensi itu memberi amaran pada awal Januari lepas bahawa terdapat stok bernilai kira-kira AS$2 trilion dalam bentuk tunai atau dalam bentuk pendapatan dilabur semula dalam pendapatan tertangguh di luar AS, yang mungkin dihantar pulang dalam bentuk-bentuk tertentu, susulan pembaharuan cukai menyeluruh (di AS).

“Ia benar-benar sedang berlaku,” katanya. “Kita melihat aliran keluar FDI dari AS daripada AS$147 bilion tahun lepas kepada negatif AS$247 bilion tahun ini.”

Faktor-faktor lain juga menyumbang kepada “perbezaan besar dalam penghantaran balik” keuntungan luar negara oleh syarikat AS, kata Zhan.

Ini termasuklah ketidakpastian tentang butiran terperinci dan kesan pembaharuan cukai dan potensi impak daripada pertelingkahan perdagangan antarabangsa yang masih belum berakhir, mencerminkan tindak balas AS dan China ke atas satu sama lain.

Walaupun penurunan keseluruhan dalam pelaburan asing, laporan UNCTAD turut mengetengahkan kenaikan 42% dalam projek “greenfield” (membina kemudahan baru) kepada AS$454 bilion.

Inisiatif ini, yang boleh melibatkan operasi binaan di negara asing yang bermula dari awal, dilihat sebagai petunjuk trend masa depan, jelas Zhan, sambil menyatakan pelaburan dalam sektor ini berada pada paras agak rendah dalam tempoh sama tahun lepas.

Meskipun paras FDI merosot, terutamanya di negara maju yang kaya termasuk Ireland (tolak AS$81 bilion) dan Switzerland (tolak AS$77 bilion), aliran FDI ke ekonomi membangun turun “hanya sedikit” dalam separuh pertama tahun ini sebanyak 4% kepada AS$310 bilion, berbanding 2017.

Ini termasuk negara membangun di Asia semasa tempoh yang sama, dipacu terutamanya oleh penurunan 16% dalam pelaburan di Asia Timur. Ia kecuali China, yang muncul sebagai penerima FDI terbesar pada separuh pertama 2018, menarik pelaburan bernilai lebih AS$70 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.