
“Tapi teman-teman bapak berkeras yang mereka dapat (jumpa) itu bapak. Maka sampai sekarang, saya masih mencari,” katanya mengenangkan bapanya yang dikatakan meninggal dunia selepas dibadai tsunami di Pantai Talise.
Bapanya, Arshad Mahmud, 55, berada di pantai terkenal itu ketika gempa dan tsunami melanda wilayah Sulawesi Tengah, mengorbankan lebih 2,000 nyawa manakala ratusan ribu penduduk terjejas, terutama di Kabupaten Palu, Sigi dan Donggala.
Jenazah bapanya dikatakan ditemui rakannya di pantai itu sehari selepas bencana dan kemudian dihantar ke rumah sakit sebelum disemadikan di tanah perkuburan massal bersama mangsa lain.
Namun, sehingga ke saat ini, Fitriani masih belum berkesempatan melihat jenazah bapanya, membuatkan beliau sukar percaya insan disayanginya itu sudah pergi buat selamanya.
“Kenapa harus dengan cara begini bapak pergi,” katanya ketika ditemui di khemah sementara di Desa Lolu, tidak jauh dari rumahnya.
Rumahnya dihuni 7 ahli keluarga adalah antara lebih 67,000 yang musnah dalam kejadian gempa pada 7.5 skala Richter yang turut mencetuskan tsunami setinggi 6 meter.
Penduduk di Palu, Sigi dan Donggala, 3 kawasan terjejas teruk, menyifatkan kejadian itu lebih buruk berbanding tsunami di Lombok dan Aceh.
“Orang tempatan kata, berlaku tsunami laut dan tsunami darat,” kata doktor sukarelawan dari Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET), Dr S Jayaseelan merujuk kepada bencana 28 September lalu.
Dr Jeyaseelan dan rakan sukarelawan IMARET yang membantu operasi hospital medan BSMI sejak minggu lalu berkata, rata-rata mangsa kini mengalami trauma dan memerlukan rawatan psikososial.
Beliau melawat khemah sementara didiami Fitriani di Desa Lolu ketika proses pengedaran pek makanan disediakan Al I’tisam Relief yang membuka dapur lapangan di kawasan hospital medan BSMI.
Ketika ini, sukarelawan IMARET ditugaskan sebagai pasukan perubatan hadapan (FMT) bagi hospital medan BSMI di Sigi.
Ditanya lanjut, Fitriani mengakui terkilan kerana tidak sempat melihat jenazah bapanya.
Sehingga semalam, 5 hari selepas pihak berkuasa menamatkan usaha mencari dan menyelamatkan, Fitriani anak ketiga dari 4 adik beradik itu, masih berusaha mengesan bapanya.
“Saya sudah memuat naik di media sosial, cari di posko-posko tetapi tetap bapak tiada. Sudah ke rumah sakit cari data, namanya bapak pun tidak ada,” kata Fitriani sayu.
Sekalipun sukar untuk menerima hakikat dan trauma tinggal di dalam bangunan, Fitriani akur dengan arahan pihak berkuasa, iaitu mana-mana jenazah tidak dituntut selepas 3 hari ditemui akan disemadikan di perkuburan massal di Peboya.
Menceritakan detik kejadian, Fitriani dan ahli keluarganya yang lain lari menyelamatkan diri ke gunung berdekatan dan hanya turun ke bawah selepas 5 hari, menyebabkan mereka tidak sempat mengecam mayat bapanya yang dikuburkan tanpa nama.
Gempa bumi dan tsunami hujung bulan lalu turut menyaksikan berlakunya fenomena “lekuifaksi” yang disifatkan sebagai tsunami daratan, menyebabkan kawasan perumahan Petobo “ditelan bumi”.
Menurut Pusat AHA secara keseluruhan malapetaka di Sulawesi Tengah itu menyebabkan lebih 150,000 terjejas, lebih 82,000 hilang tempat tinggal manakala 5,000 orang lagi dilaporkan masih hilang.