NGO: Kanak-kanak Rohingya wajar dapat pengesahan ke sekolah kerajaan

NGO: Kanak-kanak Rohingya wajar dapat pengesahan ke sekolah kerajaan

Etnik Rohingnya di sini sedia memiliki kad pelarian PBB, tetapi ia tidak diterima di sekolah kerajaan dan sekolah agama.

Selain tidak mendapat peluang untuk masuk ke sekolah kerajaan, mereka tidak memiliki kemampuan kewangan untuk belajar di sekolah swasta. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berkata, kanak-kanak etnik Rohingya yang berada di Malaysia wajar diberikan pengesahan status bagi memudahkan proses kemasukan mereka ke sekolah kerajaan.

Presiden Majlis Ulama Rohingya (MUR), Mohd Jaber Mohd Subhan berkata, etnik Rohingnya yang berada di sini sedia memiliki kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), tetapi ia tidak diterima di sekolah kerajaan dan sekolah agama.

Beliau berkata, selain tidak mendapat peluang untuk masuk ke sekolah kerajaan, mereka tidak memiliki kemampuan kewangan untuk belajar di sekolah swasta kerana yuran pengajian terlalu mahal.

“Sekarang ini kanak-kanak Rohingya masih tidak mendapat peluang untuk belajar di sekolah kerajaan dan tiada peluang untuk menuntut ilmu.

“Etnik Rohingya di sini juga tidak boleh membuka sekolah sendiri kerana mereka tidak berkemampuan dengan pekerjaan yang mereka ada, hatta untuk menampung kehidupan,” katanya kepada FMT.

Dalam pada itu, duta Majlis Rohingya Eropah (ERC) ke Malaysia Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi menyokong langkah Kementerian Pendidikan mahu mempermudahkan proses kemasukan kanak-kanak tanpa kerakyatan ke sekolah kerajaan dengan hanya mengemukakan sama ada sijil lahir, surat anak angkat atau perintah mahkamah, tetapi berkata pihaknya belum mendapat pengesahan berhubung proses kemasukan membabitkan etnik Rohingya.

“Dari segi etnik Rohingnya, saya belum dapat pengesahan lagi,” katanya.

Beliau berkata, isu persekolahan kanak-kanak etnik Rohingya wajar disegerakan kerana tidak mahu kumpulan itu menimbulkan masalah sosial lain jika terlalu lama berada di Malaysia tanpa pendidikan.

Jaber, yang menyetujui pandangan itu berkata, masalah sosial melibatkan kanak-kanak Rohingya akan meningkat kerana pendidikan dan ilmu sangat penting untuk pembinaan manusia.

“Tanpa ilmu, masalah sosial akan menjadi lebih teruk dan menyebabkan rosaknya akhlak dan peribadi kanak-kanak berkenaan.

Beliau juga bimbang masyarakat Rohingya di sini menjadi golongan yang menjejaskan keharmonian Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.