Mexico buru ketua sindiket perdagang 60 wanita, kanak-kanak

Mexico buru ketua sindiket perdagang 60 wanita, kanak-kanak

Kumpulan mangsa itu termasuk beberapa wanita serta 6 kanak-kanak Orang Asli berusia 2 tahun ke bawah, dipaksa mengemis di persimpangan lampu isyarat di bandar Oaxaca.

Menurut PBB, 8 daripada 10 Orang Asli di Mexico hidup dalam kemiskinan tegar.
MEXICO CITY:
Pihak berkuasa Mexico memburu ketua sebuah sindiket pemerdagangan manusia, selepas menyelamatkan berpuluh kanak-kanak Orang Asli yang menjadi buruh paksa dengan mengemis di bandar itu, kata pegawai pada Selasa.

Seramai 60 mangsa, yang hampir semuanya kanak-kanak, ditemui di sebuah rumah dan dibebaskan awal pagi Sabtu lalu, kata pejabat peguam negeri Oaxaca.

Menurut pegawai, mangsa yang termasuk beberapa wanita serta 6 kanak-kanak berusia 2 tahun ke bawah itu ialah puak Orang Asli Tzotzil dari negeri jiran Chiapas, dan mereka dipaksa mengemis di persimpangan lampu isyarat di bandar Oaxaca.

Katanya, 11 suspek ditahan berhubung sindiket pemerdagangan itu, tetapi ketua yang disyaki masih bebas.

Kemiskinan dan kekurangan pekerjaan menyebabkan Orang Asli di Mexico berdepan risiko, di mana 500,000 orang dianggarkan menjadi mangsa pemerdagangan manusia, menurut Suruhanjaya Hak Asasi Kebangsaan (CNDH).

Menurut kerajaan, hampir separuh daripadanya kira-kira 21,000 kanak-kanak ialah Orang Asli perempuan yang menjadi mangsa pemerdagangan seks setiap tahun.

Keluarga Orang Asli lazimnya terpaksa meninggalkan rumah di negeri miskin seperti Chiapas dan Oaxaca untuk mencari pekerjaan.

Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), walaupun hanya 12% populasi Mexico ialah Orang Asli, tetapi 8 daripada 10 Orang Asli hidup dalam kemiskinan tegar.

Media tempatan melaporkan 60 kanak-kanak dan wanita yang diselamatkan di Oaxaca itu hidup dalam pondok buruk diperbuat daripada kepingan logam serta kadbod di halaman sebuah bangunan.

“Ada yang tinggalkan komuniti mereka kerana ditipu, ada pula yang keluar atas kerelaan sendiri atau dengan saudara-mara untuk mencari peluang lebih baik,” kata jurucakap pejabat peguam negara, Josué Melchor kepada Yayasan Thomson Reuters.

Pejabat peguam negara berkata, operasi menyelamat di Oaxaca itu dilancarkan selepas siasatan selama sebulan dan ia antara kes signifikan dalam sejarah negeri itu.

Kanak-kanak yang diselamatkan itu ditempatkan di pusat perlindungan kerajaan sementara menunggu pihak berkuasa membawa mereka pulang ke Chiapas.

Kes ini berlaku sejurus selepas Mexico menandatangani perjanjian dengan Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) dan Kedutaan Kanada untuk memerangi pemerdagangan manusia dalam masyarakat Orang Asli.

“Eksploitasi seks, buruh paksa, penghambaan domestik dan penjualan kanak-kanak antara beberapa cara Orang Asli dieksploitasi,” kata Antonino De Leo, wakil UNODC di Mexico dalam majlis menandatangani perjanjian itu 4 Oktober lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.