Kerajaan tiada hasrat ganti bas perantara dengan Grab, kata menteri

Kerajaan tiada hasrat ganti bas perantara dengan Grab, kata menteri

Loke Siew Fook berkata, cadangan itu sekadar pandangan peribadi Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua.

Gambar Bernama
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pengangkutan tidak pernah menyuarakan hasrat menggantikan perkhidmatan bas perantara dengan pengangkutan e-hailing, termasuk Grab di stesen Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT), kata Loke Siew Fook.

“Itu hanya pandangan dan cadangan oleh (Setiausaha Politik Menteri Kewangan) Tony Pua, bukanlah cadangan dari pihak kementerian.

“Buat masa ini, kita juga tidak pernah berhasrat menggantikan mana-mana perkhidmatan bas perantara,” kata menteri pengangkutan itu di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pua yang kerajaan sedang mengkaji kemungkinan bekerjasama dengan syarikat e-hailing sebagai alternatif kepada bas perantara bagi penumpang MRT.

Pua mempersoalkan keperluan menyediakan bas perantara ke stesen MRT memandangkan ramai pengusaha pengangkutan kini menawarkan perkhidmatan lebih murah.

Kenyataan itu mendapat pelbagai reaksi, termasuk daripada Datuk Seri Najib Razak yang secara sinis mempersoalkan keutamaan kerajaan mengambil langkah berjimat cermat dengan mengetepikan kos yang terpaksa ditanggung rakyat.

“Jika hanya kerajaan mengambil pendekatan berjimat, di manakah peluang rakyat pula untuk berbuat demikian?” soal bekas perdana menteri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.