Datuk: Pengerusi DAP Melaka mohon parti maklumkan Agong, ketua negeri

Datuk: Pengerusi DAP Melaka mohon parti maklumkan Agong, ketua negeri

Tey Kok Kiew berharap kontroversi dapat dielakkan sama sekali pada masa akan datang.

PETALING JAYA: Pengerusi DAP Melaka memohon pimpinan pusat parti memaklumkan kepada Agong dan ketua-ketua negeri tentang keputusan tidak membenarkan wakil rakyat dan ahli majlis tempatan menerima gelaran kebesaran semasa berkhidmat.

Ini supaya kontroversi dapat dielakkan sama sekali pada masa akan datang, kata Datuk Tey Kok Kiew.

“Saya sekali lagi memohon secara terbuka agar pimpinan pusat bukan sahaja memaklumkannya kepada ahli-ahli DAP malahan memaklumkannya kepada Agong, sultan dan gabenor.

“Agar perkara yang berlaku ke atas saya tidak berulang ke atas pimpinan parti yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dalam mesyuaratnya Isnin lalu mengumumkan wakil rakyat dan ahli majlis tempatan parti itu tidak boleh menerima gelaran kebesaran semasa berkhidmat, keputusan yang menegaskan kata sepakat yang dicapai sejak sedekad lalu.

Tey, yang juga Adun Bandar Hilir, menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran “Datuk” sempena ulangtahun kelahiran ke-80 Yang di-Pertua Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob pada 13 Oktober lalu.

Beliau mendedahkan dia ada merujuk hal menerima gelaran kebesaran kepada Setiausaha Organisasi Loke Siew Fook pada 8 Oktober, Setiausaha Agung Lim Guan Eng pada 9 Oktober, Pengerusi Tan Kok Wai pada 11 Oktober dan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong pada 11 Oktober.

Beliau juga memohon maaf Yang di-Pertua Melaka atas kontroversi yang timbul.

“Sekali lagi saya ingin melafazkan taat setia yang tidak berbelah bahagi saya kepada pimpinan tertinggi Melaka dan gabenor. Saya juga menghormati institusi raja-raja Melayu seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.