Van polis terbabas, suspek pengganas maut ketika dihantar ke KL

Van polis terbabas, suspek pengganas maut ketika dihantar ke KL

Menurut sumber, lelaki Perancis itu cedera parah selepas van yang dinaiki bersama anggota polis dari Perlis ke Kuala Lumpur terbabas, dipercayai akibat jalan licin.

KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki warga Perancis yang disyaki terlibat fahaman Salafi Jihadi di negara ini meninggal dunia, selepas terbabit dalam kemalangan di Km428.3 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) berhampiran Bukit Beruntung, Jumaat lalu.

Sumber yang mengesahkan perkara itu kepada Bernama berkata, Mickael Alain Louvier meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, kelmarin.

“Louvier meninggal dunia (akibat kecederaan parah) apabila van yang dinaiki bersama anggota polis dari Perlis ke Kuala Lumpur terbabas, dipercayai akibat jalan licin.

“Mereka dibawa ke ibu negara bagi membolehkan polis mendapatkan maklumat lanjut berhubung kumpulan pengganas berkenaan,” kata sumber itu.

Suspek antara 8 lelaki ditahan di beberapa negeri bulan lalu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengganas.

Pada 24 September lalu, Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dalam operasi di Perlis, Kuala Lumpur dan Johor, menahan mereka kerana disyaki terlibat dalam tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan persekutuan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, semua suspek mempunyai hubungan dengan sebuah pusat pengajian Islam di Perlis sama ada sebagai pelajar, bekas pelajar atau bekas tenaga pengajar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.