PPBM Kedah gesa kerajaan pantau tabung bantu Najib

PPBM Kedah gesa kerajaan pantau tabung bantu Najib

Timbalan Ketua Anuar Abdul Hamid berkata pihak berkuasa perlu memantau Tabung Solidariti 2.0 bagi memastikan ia tidak digunakan untuk tujuan yang menyalahi undang-undang.

Anuar Abdul Hamid . (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
PPBM Kedah hari ini menggesa kerajaan dan Bank Negara memantau Tabung Solidariti 2.0 yang ditubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak membela diri di mahkamah.

Timbalan Ketua Mejar (B) Anuar Abdul Hamid berkata pihak berkuasa perlu memantau tabung itu bagi memastikan ia tidak digunakan untuk tujuan yang menyalahi undang-undang.

“Kementerian Kewangan dan Bank Negara perlu membuat siasatan terhadap sumbangan yang dikatakan datang dari orang ramai atau dari sumber pengubahan wang haram,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Najib bahawa anaknya dengan kerjasama Gerakan Belia Sejagat menubuhkan sebuah tabung untuk membantu meringankan beban guaman dan ikat jamin Najib, keluarga dan aktivis pengkritik kerajaan.

Anuar berkata pihak berkuasa perlu menggesa pengendali tabung mengamalkan ketelusan bagi menyingkir sebarang kecurigaan.

“Bank Negara perlu mengetahui akaun ini dibuka atas nama siapa dan anak Najib perlu memberitahu berapa jumlah wang yang masuk dari 13 Oktober sehingga 16 Oktober kepada umum sejak dibuka,” katanya.

Anuar tidak menuduh pihak berkenaan cuba menyalahi undang-undang menerusi tabung itu.

“Saya bukan tuduh tetapi risau,” katanya, dan menggesa laporan polis dibuat bagi memulakan siasatan.

Najib menghadapi 32 pertuduhan pecah amanah, salahguna kuasa dan pengubahan wang berkaitan 1MDB dan bekas anak syarikat, SRC International.

Najib mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.