
Pengerusi ANAK, Mazlan Aliman berkata, tindakan itu perlu sejajar langkah pemulihan ke atas Felda.
Beliau mendakwa syarikat yang tiada kaitan dengan Felda meraih jutaan ringgit hasil daripada pembangunan hasil bumi seperti bijih besi dan bauksit.
“Kita tahu ada syarikat persendirian yang berhubung dengan tuan punya tanah (di Felda) dan mereka mengadakan perbincangan serta kerjasama untuk mengeluarkan hasil bumi seperti pasir, bijih besi, bauksit dan juga kuari.
“Pendapatan ini diperoleh secara langsung oleh syarikat itu dengan peneroka Felda menjadi tuan punya (tanah) atas kegiatan perlombongan ini,” katanya ketika dihubungi FMT.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang Felda akan menjual aset tidak strategik sebagai pelan pemulihan untuk mengurangkan beban hutang mencecah RM8 bilion.
Katanya, aset bukan strategik di Sabah, Sarawak dan London itu dijangka menyumbang RM2.2 bilion kepada Felda.
Selain membangunkan hasil bumi, Mazlan menyarankan Felda bekerjasama dengan agensi di kementerian lain untuk membangunkan tanah rizabnya.
“Melalui kerjasama dengan agensi-agensi di bawah kementerian lain, kita boleh tingkatkan kegiatan sosio ekonomi di tanah-tanah Felda yang masih kosong.
“Selama ini kita bergantung kepada komoditi. Jadi, kalau komoditi itu dari sudut turun naik harga, maka kesan itu akan dirasai peneroka.”
Mengenai cadangan kerajaan membentangkan kertas putih berhubung kedudukan kewangan Felda dalam sidang Parlimen kali ini, Mazlan berkata, tindakan itu akan membolehkan orang ramai mengetahui situasi sebenar dalam Felda.
“Situasi sebenar bukan rekaan. Gambaran sebenar keadaan ekoran daripada ketirisan dan urus tadbir Felda yang teruk.”