Menteri: Harga rokok naik bulan depan

Menteri: Harga rokok naik bulan depan

Menteri kesihatan berkata, pihaknya sedang menyelaras kelulusan harga rokok terkini, susulan pelaksanaan SST mulai 1 September lalu.

KUALA LUMPUR:
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata harga rokok akan dinaikkan dalam masa 3 minggu.

Beliau berkata, kementeriannya sedang menyelaras kelulusan harga rokok terkini, susulan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai bulan lalu.

“Pelaksanaan SST baru-baru ini akan menyebabkan harga bagi semua jenis produk tembakau, termasuk rokok kena dinaikkan.

“Atas sebab itu, di bawah Peraturan (8A Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004), harga perlu dinaikkan daripada harga yang terikat ketika ini,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Kerajaan memperkenalkan semula SST untuk menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) mulai 1 September lalu.

Di bawah SST, 10% dikenakan untuk cukai jualan, manakala 6% bagi cukai perkhidmatan.

Pada 30 Ogos lalu, syarikat pembekal tembakau, JT International Bhd (JTI Malaysia) mengumumkan harga rokok bagi semua jenama akan meningkat selepas penguatkuasaan SST pada 1 September lalu.

Jun lalu, harga jualan runcit hasil tembakau, termasuk rokok dikekalkan walaupun GST ditetapkan pada kadar sifar.

Kali terakhir syarikat pengeluar rokok menaikkan harga jualan runcit rokok ialah November 2015, susulan kenaikan eksais rokok, selain mengambil kira kesan GST serta tekanan kos inflasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.