
Dua ahli Parlimen Sarawak dan seorang ahli Parlimen Sabah bersama 10 individu berhimpun kira-kira 30 minit di luar Parlimen bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan mahkamah yang didakwa tidak memberi keadilan kepada keluarga mangsa.
“Saya berjanji akan membawa isu ini ke Parlimen untuk dibincangkan dalam Dewan Rakyat,” kata Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo kepada FMT di luar Parlimen.
Pada Jun 2017, Mahkamah Tinggi Miri membebaskan 3 daripada 4 tertuduh, iaitu Lie Chang Loon, Chin Wui Ching dan ahli perniagaan, Datuk Stephen Lee Chee Kiang daripada pertuduhan bersubahat dalam pembunuhan Bill.
Mahkamah Tinggi Miri hanya menjatuhkan hukuman mati ke atas pengawal kelab malam, Mohamad Fitri Pauzi kerana didapati bersalah membunuh Bill, pada 10 Ogos lalu.
Bill, 43, atau nama Islamnya Mohd Hasbie Abdullah, ditembak semasa memandu Toyota Hilux miliknya kira-kira 8.30 pagi pada 21 Jun 2016, di lampu isyarat persimpangan Lutong, dekat Pasaraya E-Mart di Jalan Miri-Bintulu.
Pembunuhan pemimpin PKR Miri itu dipercayai berkaitan tugasnya sebagai pejuang isu sosial, terutamanya hak dan tanah Orang Asal.
Sementara itu, Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju meminta pihak berkaitan, termasuk Kementerian Dalam Negeri menyiasat semula kes pembunuhan itu secara menyeluruh.
“Kes ini tidak akan selesai, selagi semua yang terlibat dalam pembunuhan secara kejam terhadap Bill Kayong ini tidak dibawa ke muka pengadilan. Itu janji kita akan sampaikan kepada mana-mana pihak yang bertanggungjawab untuk tindakan selanjutnya.”
Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin pula mempersoalkan kenapa hanya seorang tertuduh disabitkan kesalahan.
“Kita juga ingin melihat ‘mastermind’ yang melakukan (pembunuhan) itu dibicarakan semula supaya perkara ini dapat ditentukan secara adil.
“Tidak ada orang yang memperjuangkan hak, tanah adat di Sarawak seperti Bill Kayong. Kita harap keadilan dapat diberikan kepada beliau dan keluarganya.”