

Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan pada 3.40 pagi tadi memaklumkan siling seluas 1,500 kaki persegi di lobi hotel itu runtuh.
Lima jentera dan 26 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Hang Tuah serta Seputeh dikejarkan ke tempat kejadian.
Berdasarkan laporan itu, kejadian berlaku ketika kerja membaik pulih pendawaian elektrik dan seorang lelaki Bangladesh cedera di bahagian kepala.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan lanjut dan pihak pengurusan hotel bertindak menutup kawasan runtuhan dengan kanvas.
Jurucakap Hotel Hilton Kuala Lumpur berkata, sebahagian siling itu runtuh ketika kontraktor yang diluluskan membuat kerja penyelenggaraan rutin semalaman di siling lobi.
“Kawasan itu akan ditutup sementara kepada orang ramai. Ketika ini, ORO Café, Chambers Bar dan Lobby Lounge tidak akan beroperasi sehingga notis lanjut.”