
Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata pusat sedemikian dikesan di Perlis, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor dan beliau khuatir melihat aktiviti perekrutan dan indoktrinasi pelampau menyasarkan para pelajar semakin terbuka.
“Pelajar seringkali dijadikan sasaran merekrut ahli baru IS. Semuanya terkait dengan fahaman Salafi Jihadi dan Salafi Takfiri,” katanya kepada FMT.
“Aktiviti dan ancaman pengganas boleh berlaku di mana-mana sahaja, malah kawasan bandar mempunyai potensi lebih besar.”
Beliau berkata demikian susulan penahanan 8 orang termasuk 7 warga asing oleh polis anti-pengganas dalam operasi di Perlis, Kuala Lumpur dan Johor, pada 24 September lalu, kerana merancang menubuhkan pusat pembelajaran bagi menyebarkan ideologi Salafi Jihadi di Asia Tenggara.
Mizan menggesa instrumen kawalan seperti polis, kementerian, agensi kerajaan dan pihak berkuasa agama mengetatkan pembukaan pusat pengajian, pematuhan kurikulum dan standard bidang, pengambilan pelajar dan pengajar, pengimportan bahan bacaan, dan pemantauan aktiviti dan pendanaan.
“Malah sudah sampai masanya kerajaan mengawal pusat pengajian yang tidak menawarkan sijil pelajaran, dan tidak membenarkan pusat pengajian dibina di kawasan sunyi dan terpencil,” katanya.
Pada Ogos, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata perkara paling penting dalam melawan terorisme adalah menangani fahaman pelampau.
“Jika kita tidak mengatasi ideologi itu, saya tidak fikir kita boleh menangani masalah terorisme,” katanya pada sidang media selepas melancarkan simposium melawan terorisme Asean di ibu negara.