Najib gusar jumlah pelancong China turun mendadak

Najib gusar jumlah pelancong China turun mendadak

Katanya penurunan pelancong China ke Malaysia sebanyak 35% tidak pernah berlaku semasa zaman BN.

PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak menggesa kerajaan memulihkan kemerosotan jumlah pelancong China ke Malaysia, selepas media melaporkan jumlah pelancong jatuh 35% baru-baru ini.

Najib mengingatkan sektor pelancongan antara sektor terbesar di Malaysia, membentuk 13.7% atau RM168 bilion daripada seluruh ekonomi negara pada 2016.

“Sebanyak 1.73 juta pekerjaan di Malaysia disumbang secara terus atau tidak terus oleh sektor ini,” katanya.

Beliau berkata penurunan mendadak itu tidak pernah berlaku semasa zaman Barisan Nasional (BN).

“Jumlah ini telah turun dengan banyak sehingga ada penjual durian Musang King dilaporkan sedang mengalami kerugian.

“Bukan durian dan pelancong sahaja, harga dan jumlah eksport minyak sawit pun telah jatuh teruk selepas PRU14,” katanya lagi.

Najib dalam pada itu mengimbau “permainan politik” sebelum pilihan raya umum ke-14 sekitar isu pelaburan China di Malaysia.

“Permainan dan kritikan ini diteruskan selepas PRU14 dan ini akan memberi impak negatif yang besar terhadap ekonomi kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.