
Hujan lebat yang bermula pada Khamis menjejaskan beberapa negara dari Guatemala hingga Costa Rica, dan mengakibatkan tanah runtuh di Honduras yang meragut nyawa 2 kanak-kanak dan ibu mereka ketika sedang tidur.
Hujan turut memusnahkan kediaman dan tanaman serta memaksa beribu-ribu orang meninggalkan rumah masing-masing untuk ke pusat perlindungan sementara.
Enam orang terbunuh di Honduras manakala 7,000 lagi meninggalkan rumah mereka, menurut pihak berkuasa tempatan.
Di Nicaragua, kerajaan berkata sejumlah 23,000 orang terjejas dan seorang nelayan maut selepas botnya terbalik.
Dua lagi lemas dalam sebatang sungai.
Ketua agensi perlindungan awam El Salvador berkata dua orang terbunuh, seorang selepas sebatang pokok menimpa sebuah kereta, manakala 10 lagi cedera dalam insiden dinding runtuh.
Seorang maut di Costa Rica manakala seorang kanak-kanak masih hilang di Guatemala.