Mayat remaja lemas di lombong Puchong ditemui

Mayat remaja lemas di lombong Puchong ditemui

Mayat Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, 17, ditemui terapung 800m dari lokasi kejadian dan dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Anggota bomba menemui mayat remaja itu ketika membuat pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Mayat remaja lelaki yang lemas selepas terjatuh ke lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, ditemui 5.45 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Abdul Aziz Ali berkata mayat Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, 17, ditemui terapung 800m dari lokasi kejadian.

“Mayat remaja itu ditemui anggota bomba yang membuat pemeriksaan di kawasan itu.

“Ahli keluarga mangsa juga telah dimaklumkan penemuan itu dan mengesahkan itu adalah anaknya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat remaja itu dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan mati mengejut.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pasukan penyelamat terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat ini,” katanya.

Bapa mangsa, Mohammad Azzam Naim, 46, bersyukur mayat anaknya ditemui.

“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Putra Perdana malam ini,” katanya.

Semalam, operasi mencari dan menyelamat remaja itu bertukar tragedi apabila 6 anggota Pasukan Penyelamat Di Air lemas ketika menjalankan operasi SAR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.