
Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana parti itu sebelum ini membuat keputusan memboikot PRK berkenaan yang akan berlangsung pada 13 Oktober depan.
“PAS pun faham bila kita kata kita boikot, maknanya kita boikot keseluruhan pilihan raya itu. Kalau ada kalangan orang Umno yang tiba-tiba nak bertanding bebas, kita juga tak akan sokong.
“Maknanya bukan sahaja PAS kita tak akan bantu, termasuklah sesiapa sahaja calon bebas di kalangan ahli Umno yang tidak puas hati dan mahu bertanding, kita tak akan sokong. Kita tidak akan terbabit dengan pilihan raya itu langsung,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata calon parti Islam itu akan diumumkan malam ini dan lawan Anwar itu merupakan “tokoh yang sepadan dengannya”.
Terdahulu, Barisan Nasional (BN) mengumumkan tidak akan bertanding di PRK Port Dickson. Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dicapai selepas perbincangan antara Umno, MCA dan MIC.
Selain PAS, Anwar bakal ditentang Parti Rakyat Malaysia (PRM), bekas setiausaha agung MIC Datuk G Kumar Aamaan dan personaliti Twitter, Stevie Chan Keng Leong sebagai calon bebas.