
Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak membenarkan sebarang arahan diberikan kepada media, selepas gabungan itu memenangi pilihan raya umum 9 Mei lalu.
“Kalau dahulu, sebelum 100 hari PH mentadbir negara, ada istilah digunakan editor di Malaysia bahawa ada ‘wahyu’ atau arahan, mereka tidak akan bertindak selagi tidak ada arahan dari Putrajaya. Arahan dari Putrajaya itu perlu dipatuhi.
“Selepas 9 Mei, tidak ada seorang editor memaklumkan kepada saya bahawa mereka menerima panggilan dari menteri tertentu, perdana menteri, pegawai kepada menteri atau setiausaha akhbar kepada menteri untuk buat itu dan ini.
“Ada di antara editor sekarang ini sunyi, ada yang meminta tunjuk ajar daripada saya, tetapi saya katakan tidak boleh berikan tunjuk ajar atau sebarang arahan,” katanya dalam perbincangan meja bulat bagi menyelaras undang-undang berkaitan kebebasan bersuara di Parlimen, hari ini.
Kadir turut mengesahkan majlis media akan ditubuhkan untuk memperkasakan hak pengamal media.
“Kita mahu ‘media council’ ditubuhkan dalam masa terdekat. Namun, ada debat dalam kalangan pengamal media bertanya apakah bentuk dan hala tujunya? Ada yang berpandangan ‘media council’ harus bebas dari pengaruh kerajaan.
“Ia bermakna ‘media council’ dikuasai wartawan sahaja, namun ada idea juga meminta ‘media council’ dipimpin editor, tetapi mendapat sokongan dari pihak tertentu.”
Kadir berkata, ada gesaan daripada pengamal media untuk kerajaan mempertimbangkan pemansuhan atau pindaan terhadap undang-undang menyekat kebebasan bersuara.
Beliau juga berharap amalan agensi media dimiliki parti politik dapat dihentikan.
“Media tidak seharusnya dimiliki parti-parti politik, jadi apa yang boleh kita lakukan? Kita boleh berbincang dan dapatkan persetujuan atasi masalah ini.”