Saran kahwin usia 14 tahun elak zina alasan lawak, kata Syed Saddiq

Saran kahwin usia 14 tahun elak zina alasan lawak, kata Syed Saddiq

Menteri Belia dan Sukan tidak setuju membenarkan perkahwinan bawah umur 18 tahun seperti disarankan mufti Sabah.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman setuju cadangan kerajaan naikkan had umur perkahwinan kanak-kanak kepada 18 tahun. (Gambar fail)
CYBERJAYA:
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan menurunkan had minimum perkahwinan kanak-kanak kepada 14 tahun disebabkan tidak mahu terjebak dengan zina sebagai satu alasan jenaka.

“Alasan biarkan mereka berkahwin pada umur 13 dan 14 tahun sebab mereka sudah matang adalah lawak.

“Kanak-kanak ini perlu dilindungi dan saya tidak setuju sama sekali membenarkan perkahwinan bawah umur 18 tahun,” katanya pada sidang media selepas sesi dialog bersama usahawan.

Sabtu lalu, Mufti Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dilaporkan mahu had umur minimum perkahwinan diturunkan daripada 16 tahun bagi perempuan kepada 14 tahun dan 18 tahun bagi lelaki kepada 16 tahun mengikut undang-undang syariah.

Beliau juga bersetuju dengan langkah kerajaan mahu menaikkan had umur perkahwinan kanak-kanak kepada 18 tahun bagi lelaki dan perempuan.

Katanya, cadangan itu perlu kerana berpandangan umur 18 tahun sangat sesuai dari segi undang-undang sedia ada dalam negara ini.

“Memang patut diselaraskan. Saya tidak setuju jika kahwin bawah umur 18 tahun.

“Terutama sekali cadangan untuk menurunkan had umur perkahwinan bawah umur kepada 14 tahun,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq berkata kementeriannya bersama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan sedang merangka menyediakan platform kepada usahawan muda dalam menyuarakan pandangan mereka.

Dalam sesi dialog hari ini juga pelbagai cadangan diberikan kepada 2 kementerian untuk dikaji.

Syed Saddiq berkata di bawah kementeriannya juga sedang mengkaji penyertaan anak muda dalam pelbagai bidang seperti korporat, kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau berkata kajian itu penting bagi melihat sebab anak muda berminat dan tidak berminat menyertai dalam sesuatu bidang.

Syed Saddiq juga berkata beliau juga akan berusaha menyelaraskan bantuan untuk anak muda dari segi dana usahawan muda.

“Ini supaya mereka dapat peluang secukupnya dan seperti dalam janji Pakatan Harapan untuk memberi dana RM1 bilion kepada usahawan muda juga akan diusahakan.

“Namun itu bukan mudah dan perlu kerja keras dan dibentangkan cadangan di Kabinet nanti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.