
Delegasi etnik Al-Ghufran menyerahkan surat bantahan kepada badan pentadbir bola sepak dunia, FIFA menuntut agar Qatar dilucutkan hak menjadi tuan rumah bagi kejohanan itu, melainkan mereka menerima pengadilan.
“Piala Dunia adalah perhimpunan orang ramai yang datang untuk menyukai bola sepak, perlawanan yang jujur, persaudaraan, kasih sayang dan rasa hormat sesama bangsa; bagaimanakah Qatar akan memainkan peranan menyediakan semua ini apabila ia sangat tidak adil kepada rakyatnya sendiri?
“Sistem FIFA menyatakan negara di mana Piala Dunia diadakan mesti menghormati dan memelihara hak asasi manusia, tetapi negara ini merosakkan rakyatnya sendiri dan menghalang hak mereka, dan kemudian membincangkan tentang kebebasan dan demokrasi,” kata jurucakap etnik itu.
Etnik berkenaan mendakwa tanah yang digunakan untuk membina stadium itu diambil dari mereka secara paksa, dan kemudahan sukan itu dibina secara haram dan tidak sah selepas pemiliknya dihalau dari tanah tersebut dan dilucutkan kewarganegaraan mereka.
Kesengsaraan etnik Al-Ghufran bermula pada 1996, ketika beberapa ahlinya menyuarakan sokongan kepada pemimpin Qatar, Sheikh Khalifa Al-Thani yang digulingkan tahun sebelumnya oleh anaknya sendiri.
Lebih 6,000 daripada 800 keluarga dilucutkan kewarganegaraan dan harta mereka dirampas. Ramai yang tidak memiliki status warganegara, sama ada yang tinggal di Qatar atau negara Teluk berdekatan.
Satu delegasi etnik itu kini berada di Switzerland selama seminggu untuk membentangkan kes mereka kepada pegawai hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva.