Penganalisis ‘nasihat’ MCA terima kerjasama Umno-PAS

Penganalisis ‘nasihat’ MCA terima kerjasama Umno-PAS

Kamarul Zaman Yusoff berkata MCA tidak berupaya mendapatkan sokongan bukan Melayu dan Awang Azman Awang Pawi berkata parti itu paling lemah dalam BN.

Kamarul Zaman Yusoff dan Awang Azman Awang Pawi.
PETALING JAYA:
Dua penganalisis politik menyarankan MCA akur dengan kerjasama dan kemungkinan gabungan antara Umno dan PAS.

Pensyarah di Universiti Utara Malaysia, Kamarul Zaman Yusoff berkata, parti komponen Cina itu perlu menilai dari perspektif positif tentang kebaikan kerjasama kedua-dua parti tersebut.

“Sekarang ini memang nampak agak jelas MCA sendiri tidak akan berupaya untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi bukan Melayu kepada Barisan Nasional (BN).

“Jadi ini satu cara bagi BN untuk bangkit semula dalam waktu terdekat bagi menggemblingkan sokongan pengundi Melayu kepada BN.

“Sebab kalau pengundi bukan Melayu memang sudah nampak jelas trendnya sejak pilihan raya umum ke-12 (PRU12) lagi mereka condong kepada Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau menolak gabungan Umno-PAS.

Malah beliau memberi amaran BN akan dibubarkan atau Umno disingkir daripada gabungan itu jika parti Melayu itu bergerak ke arah politik teokrasi.

Sementara, Prof Madya Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata sebagai parti komponen dalam BN, MCA tidak mempunyai hak untuk menolak kerjasama tersebut yang secara dasarnya mampu memberikan kebaikan kepada BN dalam meraih sokongan terutamanya orang Melayu.

Katanya, BN tidak akan terkesan meskipun jika MCA bertindak keluar daripada parti itu selepas menolak gabungan Umno-PAS.

“MCA dalam kedudukan yang paling lemah dalam BN, kemudian dia bersuara pula seolah-olah dia mempunyai kerusi yang lebih banyak daripada Umno.

“Dan kalau betul perlu pun, dia perlu bawa ke dalam mesyuarat BN,” katanya.

Naib Presiden BN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata MCA tiada kuasa untuk menyingkir Umno daripada BN kerana semua keputusan dalam gabungan itu dibuat secara bersama.

Katanya, MCA juga tidak wajar membuat kenyataan kepada media tentang menyingkir parti Melayu terbesar itu daripada BN.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa pula mencadangkang Liow meletak jawatan sebagai presiden MCA, sepertimana dilakukan Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

Menurut Annuar, keputusan itu perlu dibuat supaya parti berasaskan bangsa Cina itu dapat mencorak langkah lebih maju ke hadapan.

Pada PRU14, MCA hanya memenangi 1 kerusi Parlimen iaitu Ayer Hitam melalui Timbalan Presidennya Datuk Seri Wee Ka Siong.

Selain kerusi Parlimen Ayer Hitam di Johor, MCA menang 2 kerusi DUN iaitu Titi Tinggi di Perlis dan Cheka di Pahang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.