
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, ini kerana kes perkahwinan bawah umur di Pahang terlalu kecil dan bukan isu.
“Buat masa kini, Pahang masih mengguna pakai had umur minimum perkahwinan di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2005 Negeri Pahang. Belum ada cadangan untuk mengubahnya,” katanya selepas melawat Pusat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuantan, hari ini yang turut dihadiri Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Mohd Zafri Hamzah.
Shahaniza menyarankan kerajaan pusat memperkemaskan proses perkahwinan kanak-kanak di bawah umur seiring cadangan mengubah peraturan dan undang-undang berhubung perkara itu.
“Kami bukan nak menggalakkan perkahwinan bawah umur, tetapi proses ini perlu diperkemaskan sekiranya ada kes-kes tertentu yang membenarkan perkahwinan ini berlaku.
“Proses ini termasuklah melibatkan laporan terperinci pegawai kaunseling daripada pihak terlibat seperti JKM dan juga laporan perubatan, sebelum perkahwinan dijalankan.
“Ini bagi memastikan anak-anak ini tidak dipergunakan orang tertentu kerana dengan umur sedemikian, mereka masih tidak boleh membuat keputusan sendiri.”
Selain itu, katanya, satu kajian bersesuaian juga perlu dilakukan, memandangkan perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak kini tidak seperti dahulu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail baru-baru ini mencadangkan had usia minimum perkahwinan dinaikkan kepada 18 tahun bagi melindungi kesihatan, keselamatan dan hak kanak-kanak di negara ini.
Bagaimanapun, Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berpendapat had umur minimum perkahwinan perlu diturunkan kepada 14 tahun bagi perempuan dan 16 tahun bagi lelaki dengan alasan anak sekarang lebih matang dan terdedah kepada soal seks.