
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, isteri seorang daripada mangsa yang berada di Sulawesi menerima panggilan telefon daripada kumpulan itu kira-kira 10.24 pagi, 18 September lalu.
“Setakat ini, isteri salah seorang mangsa telah menerima panggilan daripada suspek yang meminta wang tebusan, tetapi tiada tempoh diberikan untuk membuat pembayaran wang berkenaan.
“Bagaimanapun, kami akan tunggu perkembangan seterusnya, mungkin ada rundingan antara keluarga mangsa dan majikan mangsa,” katanya selepas merasmikan upacara perbarisan dan amanat pesuruhjaya polis Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan, hari ini.
Pada 11 September lalu, 2 nelayan warga Indonesia berusia 30-an diculik 2 lelaki bersenjata ketika menangkap ikan di Pulau Bodgaya, Semporna, kira-kira 12.30 tengah malam.
Dalam pada itu, Omar berkata, berikutan kejadian 2 lelaki dipercayai ejen jenayah penculikan untuk wang tebusan yang ditembak mati pada 21 September lalu, polis turut menerima beberapa maklumat daripada nelayan yang melihat pergerakan bot pancung disyaki tali barut.
Katanya, kawalan keselamatan di perairan pantai timur Sabah akan diperketatkan bagi membanteras jenayah rentas sempadan.