
Beliau berkata, keputusan itu dibuat berikutan aduan kesatuan dan pekerja asing yang mengatakan mereka tidak mampu membayar levi tersebut.
Semalam, Lim berkata, kerajaan bersetuju pembayaran levi berjumlah RM10,000 setahun ditanggung 80% oleh pekerja asing dan 20% lagi oleh majikan.
“Bayaran ini untuk pekerja yang sudah bekerja lebih 10 tahun di Malaysia yang dibenarkan melanjutkan tempoh selama 3 tahun maksimum dengan levi tahunan RM10,000.
“Namun, pekerja asing mengadu tidak mampu membayar RM8,000, jadi kerajaan putuskan struktur levi ini kembali kepada asal, yang mana RM10,000 itu dibayar majikan,” katanya pada sidang media hari ini.
Lim berkata, bayaran levi boleh dibuat majikan mulai 1 Oktober ini.
Mengulas lanjut, Lim berkata, pada 29 Ogos lalu, kerajaan bersetuju memberi kelonggaran bagi membolehkan majikan mengekalkan pekerja asing yang berkemahiran.
“Kalau majikan tidak mahu bayar RM10,000, mereka boleh hantar pekerja asing pulang ke negara asal terlebih dahulu dan datang semula sebagai pekerja baru, jadi levi yang perlu dibayar hanya RM1,850.”
Mengenai 1MDB, Lim berkata, pengewangan aset dari 1MDB akan dimasukkan ke dana disatukan dan akaun amanah berkaitan.
“Mana-mana dana yang diperoleh daripada pelupusan aset-aset ini perlu masuk ke dalam dana disatukan ini. Tetapi, ia perlu disahkan adalah milik 1MDB.
“Saya berpendapat lebih baik kita tunggu untuk melupuskan aset-aset ini terlebih dahulu.”
Mengenai aset yang disasarkan kerajaan, Lim berkata: “Walaupun kita tahu asetnya, saya fikir ia sesuai untuk dijawab peguam negara kerana beliau yang mengendalikannya.”