Amanah tubuh jawatankuasa urus hal ehwal India Muslim

Amanah tubuh jawatankuasa urus hal ehwal India Muslim

Jawatankuasa khas itu menjaga kepentingan dan kebajikan komuniti tersebut serta memberi peluang kepada mereka menyuarakan hak secara lebih meluas.

Jawatankuasa khas itu terdiri daripada 15 ahli tertinggi yang semuanya adalah ahli Amanah sebelum PRU14. (Gambar kimma.my)
KUALA LUMPUR:
Jawatankuasa khas Hal Ehwal India Muslim ditubuhkan di bawah Amanah bagi menjaga kepentingan dan kebajikan komuniti itu serta memberi peluang kepada komuniti itu menyuarakan hak mereka secara lebih meluas.

Jawatankuasa itu juga diharap dapat menarik lebih ramai ahli baharu, kata Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Mediasi Komuniti Strata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

“Sekiranya mereka bergerak hanya sesama mereka sahaja, suara mereka sangat terhad dan mungkin komuniti lain tidak dapat memberi perhatian untuk membantu menyelesaikan masalah mereka.

“Selaras dengan Amanah yang terdiri daripada ahli berbilang kaum, kami bekerjasama dengan komuniti India Muslim dalam parti untuk menubuhkan jawatankuasa itu bagi membawa suara mereka ke peringkat lebih luas termasuk ke Parlimen.”

Khalid berkata jawatankuasa khas itu terdiri daripada 15 ahli tertinggi yang semuanya adalah ahli Amanah sebelum pilihan raya umum ke-14.

Sementara itu, ketua Jawatankuasa Khas Hal Ehwal India Muslim Noorul Hassan Saul Hamed berkata seramai 5,000 ahli baharu terdiri daripada komuniti itu menyertai Amanah susulan penubuhan jawatankuasa khas itu dan beliau berharap ia akan mencapai sehingga 20,000 orang akhir tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.