Umno fail tuntutan dapatkan RM116.7 juta dirampas dalam serbuan

Umno fail tuntutan dapatkan RM116.7 juta dirampas dalam serbuan

Lima defendan dinamakan dalam tuntutan itu, termasuk Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis, Mohd Sakri Arifin yang mengetuai serbuan merampas wang itu di premis dikaitkan dengan Najib Razak.

Polis memindahkan barang rampasan dari sebuah kondominium dikaitkan dengan Najib Razak ke sebuah trak.
PETALING JAYA:
Umno memfailkan tuntutan untuk menuntut RM116.7 juta yang dirampas polis dalam serbuan ke atas hartanah dikaitkan dengan bekas presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

Peguam, Datuk Hariharan Tara Singh berkata, tuntutan itu difailkan Jumaat lalu dan writ serta pernyataan tuntutan sudah diserahkan kepada 5 defendan.

Menurut Umno Online, seorang daripada defendan itu ialah Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis, Datuk Mohd Sakri Arifin, pegawai yang mengetuai serbuan untuk merampas wang itu.

Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dinamakan plaintif.

Pengurusan kes itu ditetapkan 15 Oktober ini di depan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Rumaizah Baharom.

Hariharan berkata, defendan mempunyai 14 hari dari tarikh penyerahan pernyataan tuntutan untuk memasukkan kehadiran di mahkamah.

Pada 27 Jun lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, wang tunai RM116.7 juta ditemui dalam 35 beg yang dirampas dari premis dikaitkan dengan Najib.

Amar yang mengetuai siasatan polis ke atas kes 1MDB berkata, jumlah wang tunai dan nilai barang berharga yang dirampas dalam serbuan polis itu mencecah RM1 bilion.

Katanya, wang tunai dalam 26 jenis mata wang itu mengambil masa 3 hari untuk dikira 22 pegawai Bank Negara Malaysia menggunakan 6 mesin pengiraan wang.

Sebanyak 12,000 barang kemas terdiri daripada subang, gelang tangan, kerongsang, tiara, rantai dan cincin berjumlah RM440 juta untuk kos berlian dan emas sahaja, turut ditemui dalam 25 beg lain.

Amar berkata, ia termasuk 1,400 rantai, 2,200 cincin, 2,800 pasang subang dan 14 tiara. Barang kemas paling mahala ialah seutas rantai berlian putih dianggarkan berharga RM6.4 juta.

Turut dirampas ialah 567 beg tangan berjenama seperti Hermes, Chanel dan Bijan serta 423 utas jam tangan bernilai RM78 juta terdiri daripada jenama Rolex, Chopard dan Richard Mille.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.