Selangor akan batal lesen, tutup kedai jual arak haram

Selangor akan batal lesen, tutup kedai jual arak haram

Exco Selangor, Ng Sze Han berkata, PBT di seluruh Selangor diarah mempergiatkan pemeriksaan ke atas premis menjual minuman keras, khasnya di kawasan tumpuan warga asing.

Ng Sze Han berkata, yang dipertua 12 PBT di Selangor memberi komitmen sepenuhnya membanteras penjualan arak haram di kawasan masing-masing. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Kerajaan Selangor tidak akan teragak-agak membatalkan lesen perniagaan serta mengarahkan penutupan mana-mana premis yang didapati menjual minuman keras secara haram.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata, pihaknya mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Selangor untuk mempergiatkan pemeriksaan terhadap premis menjual minuman keras, khasnya di kawasan tumpuan warga asing.

“Usaha pemeriksaan ini sememangnya selalu diadakan, tetapi berikutan kejadian keracunan alkohol kerana meminum arak haram baru-baru ini, saya mengarahkan semua PBT menjalankan pemeriksaan lebih kerap lagi.

“Kami tidak akan teragak-agak membatalkan lesen dan mengarah tutup mana-mana premis perniagaan seperti kedai runcit dan kedai serbaneka 24 jam yang didapati menjual arak haram kepada pengguna,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut Ng, satu perjumpaan dengan yang dipertua semua 12 PBT di Selangor diadakan bagi membincang hal itu dan mereka memberi komitmen sepenuhnya membanteras penjualan arak haram di kawasan masing-masing.

Menurut kenyataan Polis Selangor, 3 lagi individu yang mengalami keracunan alkohol akibat meminum arak tiruan dibenar keluar hospital hari ini.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan 19 individu dibenarkan keluar hospital sejak Isnin lalu, manakala jumlah mangsa di Selangor yang maut akibat kejadian itu kekal 24 orang.

“Mangsa yang meninggal dunia membabitkan 2 rakyat Malaysia, 2 (Bangladesh), 8 (Nepal), 10 (Myanmar), seorang warga India dan seorang individu yang tidak diketahui identitinya,” menurut kenyataan itu.

Sejak 17 September lalu, lebih 30 orang terdiri daripada warga asing dan tempatan meninggal dunia, manakala berpuluh lagi dirawat di hospital sekitar Lembah Klang, Perak dan Negeri Sembilan akibat keracunan alkohol.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.