
“Inilah masalahnya, saya tiada kuasa untuk tutup pengoperasian tahfiz haram, tetapi pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang boleh berbuat demikian,” katanya selepas melawat pusat tahfiz di Kepong di mana pengetuanya ditahan polis kerana dipercayai meliwat 9 pelajarnya berusia 11 hingga 16 tahun.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob dilaporkan berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditahan sehari selepas laporan dibuat seorang guru lelaki pusat tahfiz itu pada 13 September lalu.
Mujahid menggesa ibu bapa segera membawa pulang anak mereka yang dihantar ke pusat tahfiz di Kepong itu.
“Saya dimaklumkan selepas berbincang dengan pihak pengurusan (tahfiz tersebut), ketiga-tiga guru yang sebelum ini mengajar murid-murid telah pergi, tak lagi datang sekolah.
“Mereka kini dipantau oleh rakan-rakan yang lebih tua (senior) kerana ketiadaan tenaga pengajar. Oleh itu, ibu bapa kena prihatin, jangan jadikan tahfiz seperti tempat asuhan. Tinggal sahaja. Lihat keadaan di sini,” katanya merujuk pusat tahfiz di Kepong itu.