Nurul Izzah: Biro politik PKR bincang kekecohan pemilihan esok

Nurul Izzah: Biro politik PKR bincang kekecohan pemilihan esok

Nurul Izzah berkata semua pihak diminta tidak membuat spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Kekecohan berpunca masalah sistem e-undi menyebabkan pemilihan di Perlis, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka ditangguh.
KUANTAN:
Semua masalah dan kekecohan yang timbul semasa pemilihan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kedah dan Pulau Pinang Sabtu akan dibincangkan dengan teliti dalam Mesyuarat Biro Politik parti itu pada Selasa ini.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

“Kita akan bincangkan secara serius maklumat balas yang diterima daripada anggota kita… sekarang jangan buat sebarang spekulasi.

“Sebaiknya kita ambil secara ‘bona fide’ iaitu dengan niat dan pandangan baik,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Tanglung dan Jualan Amal anjuran Pusat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu dan PKR Ranting Setali di sini, malam tadi.

Majlis turut dihadiri pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman dan pengerusi PH Indera Mahkota yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu Lee Chean Chung.

Nurul Izzah mengulas kekecohan yang berlaku semasa pemilihan di beberapa cabang PKR Kedah dan Pulau Pinang Sabtu lepas.

Kekecohan yang berpunca dari masalah sistem e-undi menyebabkan pemilihan di Perlis, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka yang sepatutnya berlangsung semalam ditangguh ke tarikh lain.

Pada masa yang sama keputusan pemilihan di Kedah juga dibatalkan dan akan diadakan semula pada satu tarikh baru.

Rentetan kekecohan itu polis turut menahan reman 13 lelaki selama 3 hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes pergaduhan ketika pemilihan PKR Cabang Merbok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.