Exco kesihatan Pulau Pinang pertahan kehadiran di sidang kemuncak vape

Exco kesihatan Pulau Pinang pertahan kehadiran di sidang kemuncak vape

Dr Afif Bahardin berkata, beliau tahu kesan negatif merokok dan menghisap vape secara umum, tetapi kerajaan tidak boleh menjauhkan diri daripada mereka.

Kehadiran Dr Afif Bahardin dalam Sidang Kemuncak Vape Antarabangsa Malaysia di Kuala Lumpur, semalam, mengejutkan.
GEORGE TOWN:
Exco Kesihatan Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin mempertahankan kehadirannya dalam Sidang Kemuncak Vape Antarabangsa Malaysia di Kuala Lumpur semalam untuk menemui pengusaha bagi membincangkan cara menghalalkan produk vape dan mengingatkan perokok elektronik terhadap golongan tidak merokok.

Katanya, beliau tahu kesan negatif merokok dan menghisap vape secara umum, tetapi kerajaan tidak boleh menjauhkan diri daripada mereka.

Beliau berkata, jika beliau menjauhkan diri daripada mereka kerana menghisap rokok elektronik amalan tidak sihat, logik sama boleh diguna pakai ke atas mereka yang mengambil gula berlebihan kerana ia juga tidak sihat.

“Jika itu kesnya, gula juga tidak baik, tetapi adakah saya perlu berhenti pergi ke kedai roti? Dalam kes vaping, apa salahnya menggesa mereka lebih bertanggungjawab sebagai perokok dan sedar kehadiran orang tidak merokok?

“Jika anda dengar ucapan saya dalam sidang kemuncak itu, saya bercakap mengenai inisiatif ‘bebas asap rokok’ di Pulau Pinang dan menjadi perokok bertanggungjawab.

“Kami mahu penghisap vape bertanggungjawab, saya tidak berasa bersalah. Saya mahu Pulau Pinang menjadi negeri bebas asap rokok dan pada masa sama, perokok bertanggungjawab yang bertoleransi. Saya mengambil jalan tengah dalam perkara ini.

“Saya tidak menyokong tindakan menghisap vape. Saya di sana untuk memberitahu mereka, sebagai ahli politik dalam Malaysia baru, saya melibatkan diri dengan semua orang, mereka rakyat Malaysia juga,” katanya ditanya kenapa beliau menghadiri Sidang Kemuncak Vape Antarabangsa Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.

Afif berkata, beliau bukan perokok, tetapi kebimbangan utamanya ialah menghalalkan perniagaan vape dan melaksanakan langkah memantau mereka demi keselamatan.

Katanya, beliau ialah orang pertama berbincang dengan pengusaha vape pada 2015 ketika perdebatan hangat sama ada vape patut diharamkan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Mohamed Namazie Ibrahim berkata, tiada istilah “perokok bertanggungjawab”.

“Vaping didapati berbahaya kepada kesihatan. Sebagai pegawai kerajaan bertanggungjawab, mereka perlu berhati-hati.”

Beliau turut mencadangkan kerajaan mengharamkan vape.

“Pengalaman di Malaysia menunjukkan jika ia dikawal selia, penggunaannya akan meningkat.”

Katanya, perkara itu dibincangkan secara terperinci pada 2015 dan Kementerian Kesihatan ketika itu mencadangkan Kabinet mengharamkan vape.

Namazie memetik laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang mendapati asap rokok elektronik masih mengandungi zarah bertoksik.

Menurut laporan, ada bukti terhad yang “vaping” boleh menjadi alternatif lebih sihat kepada merokok.

Laporan menyatakan satu kumpulan yang berminat terhadap perdagangan vape menganggarkan kira-kira 4,000 hingga 5,000 perniagaan vape setakat tahun lalu.

Perniagaan vape dibenarkan di seluruh negara, kecuali Johor yang mengharamkannya.

Pada Mei 2016, 2 beradik yang menjalankan perniagaan vape didenda RM1,500 di Mahkamah Majistret Shah Alam kerana memiliki 620 botol cecair vape mengandungi nikotin di bawah Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952.

Pada Disember 2016, kerajaan mengumumkan penggubalan akta untuk mengawal selia vape dengan memberi 3 menteri persekutuan kuasa berbuat demikian.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengawal selia dan menguatkuasakan peraturan standard keselamatan, Kementerian Kesihatan akan mengawal selia perkara berkaitan vape mengandungi nikotin.

Kementerian Kesihatan juga akan menggubal undang-undang baru menggantikan Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dalam masa 2 tahun.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bertanggungjawab merangka piawaian untuk e-rokok.

Malaysian Reserve melaporkan tiada perkembangan mengenai undang-undang dikemas kini selepas pertukaran kerajaan pada 9 Mei lalu, manakala pengusaha vape menjangkakan undang-undang itu dilaksanakan menjelang 2019.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.