Annuar: Pemimpin ‘lemah semangat’ keluar Umno demi kepentingan diri

Annuar: Pemimpin ‘lemah semangat’ keluar Umno demi kepentingan diri

Setiausaha agung Umno berkata, proses pemutihan akan dilakukan bagi mengenal pasti jumlah ahli terkini, susulan tindakan beberapa pemimpin meninggalkan parti itu.

Annuar Musa menjangkakan proses pemutihan secara menyeluruh akan berlaku selepas Perhimpunan Agung Umno dan sehingga hujung tahun ini.
KUALA LUMPUR:
Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan mereka yang meninggalkan parti itu ialah pemimpin lemah semangat berkepentingan peribadi.

Beliau mengulas keputusan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yang juga pemimpin ke-3 keluar parti dalam masa seminggu.

“Saya belum menerima notis (keluar Umno), walaupun saya ada dengar secara tidak rasmi. Tetapi, adakah bila pemimpin di Jeli keluar, ada ahli yang ikut serta, maka habis tutup Umno di Jeli? Begitu juga di Masjid Tanah, Melaka.

“Yang lemah semangat itu pemimpin, sebab pemimpin terlalu banyak kepentingan peribadi, tetapi orang kampung dan rakyat, mereka lebih setia pada perjuangan, jadi proses ini bukan baru,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Umno hari ini.

Syed Ali yang juga bekas setiausaha Umno Wilayah Persekutuan ialah pemimpin ke-3 yang bertindak meninggalkan Umno dalam masa seminggu, selepas Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman berbuat demikian pada Selasa serta Rabu lalu.

Umno kini hanya mempunyai 49 kerusi Parlimen, selepas 5 ahli Parlimennya meninggalkan parti itu sejak pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Lima wakil rakyat itu adalah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Noor Azmi Ghazali, Mustapa dan Anifah.

Sementara itu, Annuar berkata, Umno akan melakukan proses pemutihan bagi mengenal pasti jumlah ahli terkini, susulan beberapa pemimpin meninggalkan parti itu.

“Ahli seramai 3,696,283 di 191 bahagian akan melalui proses pemutihan kerana menerima realiti politik yang berlaku migrasi. Kita ambil sikap terbuka dan pastinya Umno akan terus bergerak ke hadapan.”

Beliau menjangkakan proses pemutihan secara menyeluruh akan berlaku selepas Perhimpunan Agung Umno dan sehingga hujung tahun ini.

Katanya, Umno bukan saja memperjuangkan nasib bangsa Melayu, tetapi ia turut terbuka kepada semua rakyat Malaysia berbilang kaum.

Annuar berkata, perlembagaan Umno menyatakan ada 2 jenis keahlian dalam parti itu, iaitu ahli biasa terdiri daripada orang Melayu dan Bumiputera, manakala ahli bergabung ialah pertubuhan yang setuju bekerjasama dengan Umno.

“Mutakhir ini ada cubaan menggambarkan Umno sebagai satu kaum sahaja, kita Umno ini banyak disalahertikan dan menjadi mangsa kempen bagi memberi wajah negatif terhadap Umno.

“Perjuangan Umno berteraskan pelbagai kaum, Umno merupakan parti terawal memperjuangkan prinsip pelbagai kaum.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.